Tuesday, March 17, 2009

Antara Tugas dan Keluarga

Dalam hidup kita selalu berada di persimpangan. Jalan mana harus dituju, kanan atau kiri atau terus. Berpatah balik tidak mungkin.

Ini juga terjadi pada saya semalam. Sewaktu mesyuarat jawatankuasa majlis pelancaran kempen beli buku ITNM di MPH Mid Valley pada 22 Mac ini, saya diminta untuk turut sama menyumbang tenaga. Saya menjadi kelu untuk menjawab "maaf, tidak boleh". Ayat itu amat jarang saya tuturkan. Selalunya saya akan melibatkan diri dalam setiap aktiviti ITNM.

Apa boleh buat, saya perlu menghadiri perkahwinan anak sepupu (dalam erti kata lain, anak saudara)di Perlis pada 21 Mac ini. Sementelah saya sahaja wakil dari adik beradik yang akan ke sana. Lagi pula perancangan telah lama diatur.

Begitu juga dengan minggu lepas, saya juga jadi wakil keluarga untuk hadir ke majlis perkahwinan anak jiran di kampung. Saya terharu bila mereka cukup berterima kasih saya datang. Dan saya dengan rasa bersalah memberi seribu satu alasan kenapa adik-adik lain tidak boleh turut serta (semua alasan benar, bukan bohong).

Begitulah kalau sudah jadi ketua dalam keluarga. Tapi, tidaklah boleh selalu saja kena utamakan keluarga dan mengabaikan tugas dan tanggung jawab terhadap syarikat. Kalau tidak kerana gaji yang syarikat bagi, macam mana nak sara keluarga beb.... pikiaq lah ye...

Makan dan makan lagi

Di Kuching, tidak sukar untuk mencari tempat makan. Harganya berpatutan dan sedap-sedap belaka. Tidak jauh beza dengan di Semenanjung. Salah satu restoran yang kami kunjungi adalah Restoran Barok. Restoran ini terletak di Kampung Boyan (seberang sungai dari Water Front). Restoran ini juga pernah dikunjungi krew JJCM. Kami dilayan oleh Pengurus restoran ini sendiri dan kami amat menyanjung tinggi sikap keramahan pekerja-pekerja di restoran ini. Kami juga bernasib baik kerana pada malam tersebut, restoran ini mengadakan pertunjukan kebudayaan kerana ada beberapa rombongan pelancong asing singgah makan di situ. Kami yang sememangnya kecoh, tidak melepaskan peluang bergambar dengan penari-penari tersebut.

Bersama si cantik manis, Lucy dan penari lelaki yang tidak sempat ditanya namanya.

Zamri yang pada siangnya tidak dapat mengikut kami ke Serikin dan Sarawak Cultural Village, tiba-tiba muncul. Nampaknya dia dan para pekerja di Barok ni macam geng je... Malam itu, kami berpakat untuk balik ke hotel yang terletak di seberang sungai dengan menggunakan perahu. Tambangnya 50 sen je. Yang makcik-makcik naik kereta. Rasa takut juga menyeberang Sungai Sarawak, manalah tahu kut-kut muncul ‘Mr Croc’. Alahai... tak sempat nak posing, tup-tup dah sampai ke seberang. Hmmmm... dekat je.

Terpikir pulak kenapa kerajaan Sarawak tak bina je jambatan yang boleh menghubungkan kedua-dua tebing ini. Kan ke senang, tak payahlah nak naik perahu, jalan kaki pun boleh sampai. Tapi, bila difikirkan balik secara logiknya, penggunaan perahu inilah salah satu tarikan pelancong dan mengekalkan sejarah/tradisi pengangkutan utama masyarakat di Sarawak pada masa dahulu dan di beberapa kawasan pendalaman pada masa kini. Tambahan pula, inilah punca mata pencarian beberapa pemilik perahu yang kebanyakannya telah berusia.

Esoknya, 23 Feb 2009, hari sepatutnya kami balik ke KL. Tapi, ada sesuatu yang masih belum dibeli – ikan terubuk masin. Kami dibawa oleh Shamsul dan Zamri ke pasar basah yang menjual ikan terubuk masin. Walaupun hari tersebut adalah hari Isnin, mereka masih sempat meluangkan masa menemani kami ke pasar basah. (Hello brader, pelanggan bank u all tak marah ker?)

Zamri sedang tandatangan 'autograf' pada kotak bungkusan ikan masin.

Monday, March 16, 2009

Sarawak Cultural Village

Sarawak Cultural Village (SCV) merupakan satu lagi tempat yang patut dikunjungi jika ke Sarawak. Di sinilah kita boleh mengenali budaya dan cara hidup masyarakat Sarawak. Sepanjang perjalanan ke sana, kami dapat melihat dari jauh Gunung Santubong.

Kami tiba ke SCV hampir jam 3:00 petang (22 Feb 09), iaitu lebih kurang 45 minit perjalanan dari bandar Kuching. Di sini, kita boleh menyaksikan persembahan kebudayaan yang diadakan 2 kali sehari iaitu jam 11:00 pagi dan 4:00 petang. Tiket masuk adalah RM68.00 seorang, oleh kerana kami beli tiket dari travel agent, maka dapatlah murah sikit RM55.00 je. Dan memandangkan kami tiba agak lewat, maka kami tergesa-gesa melawat rumah-rumah yang dibina mengikut suku kaum/etnik seperti Iban, Melanau, Bidayuh, Melayu, Orang Ulu dan Penan. SCV dibina di atas tanah seluas 17 ekar.

Bergambar di hadapan rumah Bidayuh, Orang Ulu dan Melanau.


Gambar Kiri : Keremboi - sejenis kulit siput yang dimainkan untuk mengambil semangat semasa musim menuai padi.
Gambar Kanan : Tengkorak digantung dan dinyalakan di sini bagi menjauhkan roh-roh jahat.

Tepat jam 4:00 petang, sesi kedua persembahan kebudayaan dimulakan. Kami dihidangkan dengan tarian yang juga mewakili suku kaum. Antaranya,

1) Tarian Ngajat/Pahlawan
Tarian selamat datang suku kaum Iban yang ditarikan semasa menyambut kepulangan pahlawan dari peperangan.



2) Tarian Ngajat Lesung
Juga tarian dari suku kaum Iban. Pahlawan Iban mengangkat lesung seberat 20kg menggunakan gigi (kekuatan luar biasa). Menunjukkan kekuatan dan kepahlawan seorang wira.


3) Tarian Rejang Baeh
Tarian dari suku kaum Bidayuh. Biasanya dipersembahkan selepas musim menuai untuk hiburan.



4) Tarian Langgi Julang
Juga tarian dari suku kaum Bidayuh. Ini adalah tarian ritual yang dipersembahkan semasa acara pemilihan ketua kampung.



5) Tarian Kanjet Ngeleput
Kelincahan seorang pahlawan yang memburu mencari mangsa di hutan menggunakan sumpitan.


6) Tarian Serampang Baru
Tarian ini menggambarkan suasana kegembiraan kaum Melayu di perkampungan semasa menyambut sesuatu perayaan.


Kami diajak untuk menari bersama. Kalau tidak kerana Mak Ngah ada bersama dalam rombongan ini, dah lama saya naik ke pentas. Ish! Ish! Ish!

Opsss... Hati-hati jika berjalan di atas papan-papan yang menghubungkan antara sebuah rumah dengan rumah yang lain, kalau tidak, anda akan 'disapa' oleh -------->

Friday, March 13, 2009

5 PRINSIP RUKUNEGARA

KEPERCAYAAN KEPADA TUHAN
KESETIAAN KEPADA RAJA DAN NEGARA
KELUHURAN PERLEMBAGAAN
KEDAULATAN UNDANG-UNDANG
KESOPANAN DAN KESUSILAAN



5 Prinsip Rukunegara yang bukan sahaja perlu dihafal tetapi perlu difahami, dihayati, diamalkan.

Entahlah!!!! Apa sudah jadi dengan rakyat Malaysia sekarang, apa sudah jadi dengan bangsa Melayu?

"Mereka yang tidak mengingati masa lampau akan disumpah untuk mengulanginya"... George Santayana, ahli falsafah dan penyajak Amerika kelahiran Sepanyol

Renung-renungkan dan beri ruang untuk berfikir sejenak. Bukan untuk diri kita tetapi untuk masa depan anak cucu cicit kita.....

Thursday, March 12, 2009

LAFAZ AKHIR DARI PEJUANG BANGSA

Telah 2 kali ITNM mengadakan majlis tahlil untuk Sasterawan Negara. Kali pertama adalah pada 29.8.2008 yang diadakan untuk Allahyarham S.Othman Kelantan yang kembali ke rahmatullah pada 31.7.2008. Dan pada 11.3.2009 pula, majlis yang sama diadakan untuk Allahyarham Arena Wati yang menghadap Ilahi pada 25.1.2009. Majlis kali ini dianjurkan bersama PENA.

Seperti kata En Salleh Rahmat dari PENA, "yang telah kembali ke rahmatullah amat memerlukan doa kita, bukan anugerah...". Ya, saya sememangnya tersentuh dengan kalimah itu, sepatah ayat yang mengandungi maksud yang mendalam. Dan betapa usaha ITNM ini akan mendapat keberkatan dari-Nya. InsyaAllah. Amin..

En. Hasanudin (anak kelima Allahyarham) pula memulakan bicara betapa beliau bersyukur kerana masih ada rakan-rakan seperjuangan arwah ayahandanya yang masih mengingati arwah.

Beliau juga melafazkan kembali kata-kata terakhir ayahandanya, (renung dan hayati kata-kata ini).

"ayah bukan melayu politik, ayah bukan melayu korporat, ayah ialah melayu darah." Dan kerana itulah hidup beliau hanya diwarnakan dengan satu warna.

"bila ayah sudah pergi, bukan sahaja doa-doa datang daripada yang hidup tetapi doa-doa juga datang dari orang-orang yang telah pergi."

"perjuangkan, bela dan pertahankan Melayu Nusantara"... kata-kata terakhir Allahyarham Arena Wati.

Ibu Halimah

Wanita gigih di usia emas yang sentiasa menemani suami (Allahyarham Pak Arena) di kala susah dan senang. Saya memandang sayu wajah ibu ini dan semasa memimpin tangannya (buat seketika), saya teringatkan arwah mak yang dijemput tuhan hampir 2 tahun lalu. Ah! alangkah bahagianya kalaulah tangan yang saya pimpin dan genggam itu adalah tangan mak dan betapa kalau mak masih dipanjangkan usianya. Ya, Allah. Apa yang telah merasuki fikiranku. Ampuni dosa hambamu..

Bila melihat raut wajahnya saya terimbas kepada salah satu buku Pak Arena berjudul "Meniti Kala". Buku ini banyak menceritakan kisah perjalanan kehidupan Pak Arena bersama Ibu Halimah dan berlatarkan negeri Makasar, Sabah dan Arab. Betapa romantisnya pasangan ini. Dapat dirasakan bahawa mereka adalah pasangan yang saling lengkap melengkapi. Semasa membaca novel tersebut beberapa tahun dahulu, saya kurang dapat menghayatinya kerana banyak fakta sejarah dipaparkan dalam novel tersebut, yang kadang kala melayukan mata, namun setelah bersua muka dengan empunya diri yang dikisahkan, imbauan tersebut mula kembali bertandang. Dan saya mula memegang buku ini untuk membaca kembali.

Nah! Kini, saya telah bertemu dengan wanita yang banyak berkorban jiwa dan raga demi mengangkat cita-cita dan perjuangan suami tercinta. Semoga hidup Ibu sentiasa diberkati dan dipanjangkan usia.


p/s Maaf, gambar belum dapat dimuatturun.

Tuesday, March 10, 2009

RESIPI : NASI GORENG IKAN GORENG

Tak sangka iklan nasi goreng saya membuatkan ramai yang terliur. Sebenarnya buat nasi goreng ni senang je.

Bahan-Bahan (macam biasa tak ada sukatan) :-

Nasi
Isi ikan goreng yang tak habis makan sebelah malamnya
Cili api
Sayur sawi / kobis (dipotong halus)
Bawang merah + Putih

Cara-cara :-

1. Tumbuk isi ikan dan cili api (kalau blend pun OK tapi kurang ummph..)
2. Gaulkan bersama nasi
3. Tumis bawang merah dan bawang putih sehingga garing
4. Masukkan nasi yang telah digaul dengan ikan
5. Masukkan sayur
6. Masukkan bahan perasa - garam + gula + pak aji
7. Gaul rata

Sedia untuk dihidang. Saya nasihatkan jangan guna sayur yang pelbagai sebab kalau sayur banyak sangat, hilang keaslian rasa ikan tu. Kalau nak sedap lagi, makan dengan sambal belacan, minum teh 'o' dan baca akhbar di pagi minggu.

p/s Maaf gambo tak de... saya juga pernah sajikan nasi goreng ni kepada MD (MD lama, bukan MD sekarang), tapi dia tak tau yang nasi goreng tu saya buat sebab saya letak dalam polistrin. Dia makan habis.... best tau kalau kita masak orang makan sampai licin....

Friday, March 6, 2009

Membeli-belah di Serikin

Awal pagi 22 Feb 2009 (Ahad), kami bertolak ke Kampung Serikin yang terletak di daerah Bau. Perjalanan mengambil masa 1 jam. Kami menyewa Pregio yang boleh memuatkan seramai 12 orang. Perjalanan kami turut ditemani oleh Shamsul. Zamri, pada mulanya beria-ia nak ikut, tapi kerana ada tugasan lain yang perlu diselesaikan, maka hasrat tu tak tercapai.

Serikin, perkampungan kaum Bidayuh yang terletak bersempadan dengan Kalimantan. Kata orang, kalau ke Sarawak, tidak sah kalau tidak ke Serikin. Tetapi, sepanjang penelitian saya, tidaklah ada yang istimewa sangat. Mungkin kerana saya bukan ‘kaki shopping’ menyebabkan hilang minat dan tumpuan.

Selain daripada penduduk tempatan, peniaga di sini juga terdiri daripada rakyat Indonesia yang menyeberangi sempadan khas datang untuk berniaga. Pelbagai barangan terdapat di sini seperti tikar, telekung, kain batik, periuk belanga, cenderamata, anyaman, keropok dll. Agak bosan juga berada di sini sebab tak boleh cuci mata (peniaganya tak ada yang rupa cam SRK, hehehe...).

Membeli-belah (kononnya) di Serikin. Yang dibeli hanya tikar, brooch dan belinjau.

Hampir tengah hari, kami bergegas pulang ke hotel untuk bersiap ke destinasi seterusnya iaitu Perkampungan Budaya Sarawak (Sarawak Cultural Village). Dalam perjalanan pulang, kami singgah sebentar di tempat penduduk tempatan menjual sayuran. Saya tertarikh dengan sejenis tumbuhan. Kata penjual, itulah daun sup. Tapi rupanya pelik semacam. Bila dihidu, memang bau macam sup.

Kami turut singgah makan ‘ayam penyek’, satu lagi makanan popular di Sarawak. ‘Ayam Penyek’ adalah hidangan paha ayam kampung yang digoreng garing, dihidang bersama ulam-ulaman dan sambal cili, dimakan dengan nasi putih. Hidangannya ringkas sahaja tetapi tetap menyelerakan. Ia seperti 'ayam pop' iaitu hidangan Minang, cuma bezanya ayam pop dihidang bersama cili kicap.


Ayam penyek yang telah dicubit sedikit isinya kerana perut telah berkeriot..

Setelah kenyang, kami balik ke hotel dan bersiap untuk ke Sarawak Cultural Village pula. Tunggu episod seterusnya.

Tuesday, March 3, 2009

Pengalaman Pertama di Kuching

Berkunjung ke Sarawak adalah sesuatu yang diimpikan tetapi mendengar perkhabaran daripada beberapa teman bahawa tiada apa-apa yang istimewa di Sarawak, menyebabkan keinginan pudar.

Tetapi cadangan sepupu yang mengajak, ditambah pula dengan tawaran tambang murah AirAsia, saya tidak teragak-agak lagi memenuhi ajakan. Pemergian kami seramai 11 orang ke Kuching amat bermakna dan menyeronokkan.

Hari pertama tiba (21 Feb 2009), kami bertemu dengan rakan dari Semenanjung yang sudah 2 tahun bekerja di Sarawak. Beliaulah yang menjadi pemandu pelancong (thanks Shamsul). Makan tengah hari kami di sebuah kafeteria yang terletak dalam bangunan Tun Jugah. Merasalah mee kolok yang popular di Sarawak. Hari pertama, kami hanya bersiar-siar di Water Front dan kebetulan kami menginap di Grand Margarita (dulunya Holiday Inn) yang betul-betul berhampiran water front. Selain itu, sempat juga meninjau kedai cenderamata di Main Bazaar.


Bergambar berlatar belakangkan bangunan Dewan Undangan Negeri
Sarawak yang masih dalam pembinaan.

Jeti di Water Front. Bangunan putih
di belakang adalah Astana - dibina pada 1870
oleh Charles Brooke untuk isterinya Ranee Margaret. Sekarang adalah kediaman Gabenor.

Sebelah malamnya kami ke pasar Satok (terletak di Jalan Satok) yang popular dengan jualan barangan cenderamata yang murah. ‘Rombongan Cik Kiah’ kami kali ini bertambah seorang lagi kenalan baru yang memang berasal dari Kuching. Zamri namanya. Kami makan malam di gerai berhampiran pasar tersebut. Semasa makan malam, ada antara kami memesan minuman yang mempunyai nama yang agak pelik – ‘amoi cantik’ dan ‘lady white’.

Inilah rupa 'amoi cantik' dan 'lady white'.

Makan punyalah lama hingga tak sedar bahawa jam telah menunjukkan ke angka 10. Malang sekali bagi kami kerana pasar dah tutup. Hahaha… padan muka.

Nota : Pasar Satok / Sunday Market dibuka pada hari Sabtu (6:00 petang – 10:00 malam), dan hari Ahad (pagi – 12:00 tengah hari). Kebanyakan peniaga adalah dari kalangan wanita Bidayuh.


Tidak sah kalau ke Kuching tapi tak bergambar dengan kucing.

Sunday, March 1, 2009

Resipi : Ikan Bilis Goreng Bercili

Ada cadangan supaya saya masukkan resipi dalam ruangan ni, tapi masalahnya saya ni bila masak, tak pernah ada sukatan, semuanya main campak je. Jadi, cam ner nak buat resipi.

Tapi, baru sebentar tadi dok sembang dengan Shida dan Ija tentang ikan bilis. Jadi, saya nak share satu resipi paling mudah tapi paling menyelerakan. Lepas baca mesti korang kata, hampeh. Cuba dulu ye.



Bahan-bahan :
Ikan bilis yang halus atau yang disiat-siat halus
Bawang merah
Cili kering yang telah dikisar
Bahan perasa - gula + garam

Cara :
1. Goreng ikan bilis sehingga garing. Toskan.
2. Dalam kuali lain (gunakan minyak baru), goreng bawang merah sehingga garing, masukkan cili kisar (sikit je), dan tumis hingga garing, masukkan sedikit gula dan garam. Masukkan ikan bilis garing tadi, gaul rata.
3. Hidang dan makan serta merta dengan nasi panas.
Fuh... sedap beb...

Sekian, resipi untuk kali ini. Paling mudah. Orang yang tak pandai masak pun akan kata kacang je masak ni.

Next resipi ialah Nasi Goreng Ikan. Resipi ni kegemaran Shida. [Lepas ni kau jangan dok suruh akak buat nasi goreng tu, buat sendiri ye, dik :-) ]