Monday, February 16, 2009

Geng : Pengembaraan Bermula

Melihat kepada tajuknya tidak menimbulkan sebarang minat untuk menonton tetapi apabila ditambah dengan "Penampilan Istimewa Upin & Ipin", perasaan tidak sabar mula timbul sementara menanti tayangan yang bermula pada 12.2.2009.

Begitulah penangan si botak yang nakal - Upin & Ipin. Dua watak yang mengundang rasa keterujaan baik kanak-kanak mahupun yang dewasa. Bermula siaran 2 tahun lalu yang disiarkan semasa waktu hendak berbuka puasa. Bukan sahaja tidak sabar untuk mengisi perut yang seharian kosong tetapi untuk melihat aksi dan telatah si botak yang terkenal dengan trade mark "betul..betul..betul". Suara dan watak memang bertepatan sekali dan pemilihan adik Fatehah juga amat bijaksana walaupun suaranya dipinjamkan untuk watak lelaki. Jika menggunakan suara lelaki, mungkin watak Upin & Ipin perlu membesar kerana suara lelaki akan berubah dalam usia tertentu. Itu yang berlaku kepada watak Sin Chan.

Sebagai penonton dewasa yang sering juga menonton filem animasi antarabangsa, saya tidak teragak-agak untuk memberi pujian dan rasa hormat kepada geng Les Copaque yang berjaya 'memberi nyawa' pada watak, 'memberi warna' pada alam, 'memberi rasa' pada hati dan membawa satu dimensi baru filem animasi tempatan ke tahap antarabangsa.

Jika anda belum menonton atau yang ingin menonton lagi, jangan bergerak dari tempat duduk anda walaupun di skrin telah menayangkan "HABIS" kerana anda perlu duduk dan membaca setiap nama yang terlibat dalam pembikinan filem ini. Sesudah itu, anda akan faham apa yang saya maksudkan.

Saya tidak dibayar untuk menulis tentang ini. Tetapi apa yang ditulis adalah lahir dari hati kerana rasa bangga melihat anak-anak muda tempatan yang terserlah kreativitinya. Anda mungkin menganggap bahawa filem ini sama sahaja dengan filem animasi 'Putih', "Bujang Lapok" atau "Silat Lagenda" ataupun siri televisyen "Keluang Man". Ternyata anda silap.

Sesuatu yang saya fikir perlu diusahakan oleh Les Copaque adalah bagaimana hendak menarik perhatian golongan bukan Melayu untuk bersama-sama menikmati pengembaraan ini.