Friday, November 28, 2008

Tua? Terimalah hakikat

Ada sesuatu yang agak menggembirakan hari ni bila ada seseorang yang tidak pernah bertemu muka dengan saya (tetapi sering berhubungan menerusi telefon) telah mengatakan suara saya macam orang muda umur 20-an. Sedap. (Dia kata, bukan saya kata tau). Bila saya minta dia teka umur, katanya umur saya mungkin 40-an. Adussss...Dusyum! Dusyum!..
Cam ne ni beb!..Ada sumber lain ke yang pernah beritahu dia muka saya macam mana? Dik, umur akak 30-an le sayang ooii.
Bila difikirkan tentang umur yang semakin meningkat, memang rasa tertekan. Bila tengok cermin, maka nampaklah garis-garis di bawah mata dan alur antara hidung dan bibir yang semakin ketara. Masa tu macam-macam le pencuci nak dicuba dari yang harga RM4.90 hingga le yang ke RM130.00. Tapi..macam biasa. Hampeh!. Hakikatnya, kalau umur dah meningkat tu, terimalah seadanya. Nasihat seorang teman, senyum selalu dan ceriakan diri.
Ah! tak kisahlah... berapa pun umurnya. Yang penting, hati muda selalu... hehehe...

Gara-gara tulisan....

Sedang terfikir nak tulis apa petang ni, tidak semena-mena terjadi suatu peristiwa melucukan. Bukan tentang saya tetapi tentang si gadis yang sentiasa mengaku dirinya cantik. (Ok le tu Shida, siapa lagi nak puji kita kalau tak kita sendiri yang puji, betul tak). Gara-gara kandungan dalam blognya menyebabkan satu ofis kat tingkat 5 kecoh. Siapa lagi tukang mengecohkannya kalau tak bossnya sendiri. Orang lain yang baca, mungkin tak sampai hati nak ketawakan Shida tapi bila boss dia sendiri buat hal, yang lain tumpang semangkuk le... Kesian kau Shida...
Alkisah... Shida dalam coretannya ada menceritakan sedikit tentang perkataan 'sebilik'. Yang dimaksudkannya ialah pernah berkongsi bilik pejabat dengan seorang staf lelaki tetapi bila dia menggunakan ayat "pernah sebilik dengan saya", telah mencetuskan salah interpretasi. Walaupun orang yang mengenali Shida faham maksudnya, tapi gara-gara bossnya, Shida yang selalu ceria jadi tak keruan. Ini bukan malu yang dibuat-buat tapi malu yang kalau boleh tak nak datang ofis dah....
Moral of the story is... kalau tulis tu biar terang cik Shida ooii...
Dalam bidang penterjemahan pun begitu juga. Seseorang penterjemah bukan setakat perlu tahu bahasa sasarannya tetapi juga perlu mengetahui tentang latar budaya sesuatu bangsa dan bahasa tersebut supaya tidak disalah ertikan.

Thursday, November 27, 2008

Hati-Hati Di Jalan Raya

Petang ni hajat nak balik awal, tapi hujan lebat sangat. Walaupun berbumbung tapi rasa takut nak memandu masa jalan licin masih belum hilang. Kemalangan tak terduga pagi 5 November lalu menjadi pengajaran. Meski tiada kecederaan tapi memandangkan hampir seharian kat Balai Polis Gombak , mengundang rasa fobia. Jadi, sambil itu cuba tukar template blog ni yang asalnya kaler pink tu.

Imbas balik kisah 5 Nov. Kemalangan bumper to bumper melibatkan 8 buah kereta, hanya kerana bungkusan plastik sampah dari lori mana entah. Polis ambil laporan sorang saja. Lepas buat laporan, kena jumpa Sarjan pulak untuk soal siasat kejadian. Yang nak buat siasatan tu pun sorang juga. Sambil dok menunggu giliran untuk bersemuka dengan Sarjan, tiba-tiba nampak kelibat Sarjan tu naik kereta polis. Mana pulak dia pergi? Haru ni. Sampai pukul berapa nak tunggu? Rupanya Sarjan keluar pergi tempat kemalangan lain yang baru dilaporkan. Daripada pukul 11:00am kat balai sampai pukul 4:30pm baru selesai.

Oleh sebab itu, berhati-hatilah di jalan raya.


Tuesday, November 25, 2008

Al-Fatihah

Hari ini, 25 Nov 2008 (jam 12:00 tengahari), saya menerima emel dari Ija yang memforwardkan emel En Bakri. Bunyinya "Mak saya meninggal pd jam 7 pg tadi. Saya bercuti sehingga jumaat". Semasa dapat emel tu, saya rasa lemah badan, turut bersedih atas apa yang menimpa En Bakri dan keluarganya. Saya pernah kehilangan mak dan abah, saya tahu apa yang En Bakri rasa. Sewaktu menaip ini pun, saya rasa jiwa bergelodak. Kesedihan pemergian mak tahun lepas dan pemergian abah 3 tahun lepas masih dirasai. Hanya mereka yang pernah mengalaminya sahaja yang tahu bagaimana perasaannya.

Teringat saya semasa balik dari Cuti Raya Puasa baru-baru ni. En Bakri ada cerita tentang maknya yang sakit. Semasa bercerita matanya merah dan bergenang air mata. Saya tak sanggup melihat air mukanya kerana mata saya juga sudah berkaca. Dan tak semena-mena air mata saya juga turut gugur. Kerana malu pada dia, saya hanya menundukkan muka bila bercakap dengan dia. Semoga En. Bakri dan keluarga tabah. Semua orang pasti akan melaluinya. Hanya doa dari kita untuk arwah orang tua kita. Al-Fatihah.

p/s : Saya rasa amat terharu apabila menerima sms daripada En Shaharudin Ali (MD ITNM sebelum ini) pada 13 April 2008 yang mengingati perginya setahun mak saya ke Rahmatullah. Terima kasih En Shali ...

Terima Kasih Bro

Terima kasih Bro Che Lah dan Bro Suhaimi.
Terima kasih juga Sis Shida

Itu 3 sahabat yang akan terus membimbing saya dalam hal-hal blog ni. (harapnye gitulah ye. kekawan...).

Dah 2 hari tak buat new post. Hajat hati nak buat tiap-tiap hari. Tapi masa pulak tak cukup. Yang pasti waktu kerja tak boleh diusik. Kat rumah pulak tak ada komputer. Tapi, petang ni sementara menunggu Pak Supir, sempat le jenguk sekejap.

Sebut pasal Pak Supir ni, saya memang terhutang budi pada Bro Khalil (nama manja Ami... Pehh!!). Dah lama kereta saya masuk workshop, dialah tempat saya menumpang pergi dan balik kerja. Kebetulan juga jalan sama, rumah pun dekat je. Kira macam habis sepuntung rokok le perumpamaannya.

Rasa macam Boss pulak bila diambil di rumah dan dihantar juga hingga sampai kat rumah. Memang terhutang budi.... malu pun ada. Dan Bro Khalil ni pun dikenali di kalangan teman2 sebagai orang yang ringan tulang dan rajin membantu teman kala kesusahan. Semoga Bro mendapat baby yang sihat dan hidup dilimpahi kenikmatan dan kebahagiaan. Amin!

Dan sebut pasal ringan tulang ni pulak, saya rasa zaman sekarang sukar nak cari orang yang ringan tulang (Ni bukan ayat nak puji Khalil lebih-lebih, tapi berdasarkan pengalaman). Saya selalu mengalami situasi yang mana kadang-kadang saya rasa macam tiada lelaki gentleman kat dunia ni. Maaf, kalau keterlaluan. Gentleman bukan bermaksud kena bukak pintu kereta untuk perempuan, kena tarik kerusi perempuan bila duduk dll. Contohnya, kalaulah nampak seseorang perempuan itu menjinjing barang berat, apalah salahnya hulurkan bantuan. Terpulanglah sama ada dia nak terima bantuan atau tidak. Saya pernah mengalami suatu peristiwa ada kaum lelaki yang 'melarikan diri' bila nampak saya bawa balik barang shopping untuk pantry ofis. Takut saya minta tolong agaknya.... tak apalah. Saya redha ajelah. Saya pun masih mampu, masih ada kudrat. Tapi tak semua begitu, masih ada yang sanggup berkata "Berat, kak? Bak, saya tolong". Terima kasih kepada yang telah menghulurkan bantuan. Semoga Allah membalas budi baik kalian. Mungkin sesetengah orang menganggap isu ringan tulang ini isu remeh, tapi bagi saya ia menunjukkan perilaku mulia seseorang. Anda akan dihormati bukan sahaja dari kekayaan atau jawatan anda semata-mata, tetapi dari sikap dan tingkah laku anda. Yang baik itu akan sering diingati dan dikenang orang. Dengan menulis coretan ini, semoga saya juga akan mengubah sikap saya menjadi yang lebih baik.

Saturday, November 22, 2008

Surprise!!

Tujuan utama datang pejabat hari ni nak buat power point presentation boss untuk seminar saintifik hari selasa depan. Tapi sampai pukul 3:00 tak buat lagi. Tak apa. Sat lagi boleh mula, sikit je lagi. Dah buat semalam, cuma nak touch up sikit je... Sibuk benda lain, dok cuba explore blogspot ni... tekan sana tekan sini. Tak sedar masa berlalu. Betullah kata orang, bila dah mulakan sesuatu, kita akan teruja untuk meneruskannya.

Sedari tadi kat depan komputer, lupa pulak nak buka e-mel. Bila buka je e-mel depan mata terpacul nama seorang bekas ketua hakim negara. Biar betul. Sah! memang betul.... Can u imagine? Seorang bekas ketua hakim negara hantar emel kepada seorang yang kerdil ini.... Isi kandungannya untuk mendapatkan maklumat/biodata tentang seorang ahli politik yang baru menghasilkan sebuah buku yang akan dilancarkan tidak lama lagi. ITNM menterjemah buku tersebut ke dalam bahasa Inggeris dan akan menerbitkannya. Oleh kerana buku tersebut belum dilancarkan, jadi saya rasa eloklah saya tidak nyatakan lagi di sini. Nanti kalau dah dilancarkan, saya akan uar-uarkan sedikit mengenainya.

Sedikit tentang buku tersebut yang boleh saya kongsi. Saya sebagai individu yang langsung tidak pernah aktif dalam politik (tetapi sentiasa mengambil tahu tentang perkembangan politik negara), merasa amat teruja dengan pendapat penulis mengenai politik masa kini. Apa yang diketengahkan memang benar. Walaupun, saya sukar memahami sesetengah perkara yang diutarakan, namun ada pendapat penulis yang memang diakui kebenarannya (iaitu dari kaca mata orang macam saya kepada sesetengah ahli politik).

Susah ye menjadi ahli politik ni... antara tanggung jawab, amanah dan cara meningkatkan diri saling berkait rapat. Begitu juga susahnya menjadi pemimpin. Kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai.. Renung-renungkan!! (meminjam kata keramat Prof Izi yang menjadi idola si "cute')....

Kali Pertama

Sejak Jun 2008 aku memasang angan-angan dan hasrat untuk memiliki sebuah blog. Aku merasa cemburu apabila rakan seangkatan membina blognya yang bagiku amat menarik dan informatif. Aku berkali-kali dicabar oleh dia. Tetapi setiap kali hasrat hendak dizahirkan setiap kali itulah pelbagai perasaan menguasai diri. Mampukah aku untuk menulis? Katanya, tidak sukar apabila kita telah memulakan.

Setelah dicabar lagi beberapa kali (dengan si dia yang lain pula), aku memberanikan diri. Hari ini (22.11.08), jam 11:00 pagi aku memanggil si "cute" (cute ker? Hahaha...) untuk mengajar aku. Dan akhirnya terhasillah sebuah blog yang diberi nama AKU, DIA, KAMU.

Aku ditanya oleh si "cute" kenapa AKU, DIA, KAMU. Jawapanku mudah saja. Hidup kita dikelilingi oleh alam dan manusia. Yang berinteraksi secara terus dengan kita adalah manusia iaitu aku, dia dan kamu sendiri. Yang akan mengisi cetusan nuraniku nanti juga adalah berkaitan dengan diriku, dirinya dan diri kamu semua yang berada di sekelilingku.

Terima kasih untuk dia yang telah mencetuskan semangat untukku menulis. Terima kasih kepada kamu yang meluang masa untuk membaca. Tahniah untuk aku yang berani sedikit untuk keluar dari ruang lingkup yang biasa.

Aku tidak petah berbicara. Kadang-kadang ada sesuatu ingin kusampaikan tetapi tidak terluah dengan kata-kata. Inilah ruang yang akan aku guna sebaik mungkin, jika berkelapangan.

KALI PERTAMA aku ini diharap tidak menjadi KALI TERAKHIR......