Thursday, March 12, 2009

LAFAZ AKHIR DARI PEJUANG BANGSA

Telah 2 kali ITNM mengadakan majlis tahlil untuk Sasterawan Negara. Kali pertama adalah pada 29.8.2008 yang diadakan untuk Allahyarham S.Othman Kelantan yang kembali ke rahmatullah pada 31.7.2008. Dan pada 11.3.2009 pula, majlis yang sama diadakan untuk Allahyarham Arena Wati yang menghadap Ilahi pada 25.1.2009. Majlis kali ini dianjurkan bersama PENA.

Seperti kata En Salleh Rahmat dari PENA, "yang telah kembali ke rahmatullah amat memerlukan doa kita, bukan anugerah...". Ya, saya sememangnya tersentuh dengan kalimah itu, sepatah ayat yang mengandungi maksud yang mendalam. Dan betapa usaha ITNM ini akan mendapat keberkatan dari-Nya. InsyaAllah. Amin..

En. Hasanudin (anak kelima Allahyarham) pula memulakan bicara betapa beliau bersyukur kerana masih ada rakan-rakan seperjuangan arwah ayahandanya yang masih mengingati arwah.

Beliau juga melafazkan kembali kata-kata terakhir ayahandanya, (renung dan hayati kata-kata ini).

"ayah bukan melayu politik, ayah bukan melayu korporat, ayah ialah melayu darah." Dan kerana itulah hidup beliau hanya diwarnakan dengan satu warna.

"bila ayah sudah pergi, bukan sahaja doa-doa datang daripada yang hidup tetapi doa-doa juga datang dari orang-orang yang telah pergi."

"perjuangkan, bela dan pertahankan Melayu Nusantara"... kata-kata terakhir Allahyarham Arena Wati.

Ibu Halimah

Wanita gigih di usia emas yang sentiasa menemani suami (Allahyarham Pak Arena) di kala susah dan senang. Saya memandang sayu wajah ibu ini dan semasa memimpin tangannya (buat seketika), saya teringatkan arwah mak yang dijemput tuhan hampir 2 tahun lalu. Ah! alangkah bahagianya kalaulah tangan yang saya pimpin dan genggam itu adalah tangan mak dan betapa kalau mak masih dipanjangkan usianya. Ya, Allah. Apa yang telah merasuki fikiranku. Ampuni dosa hambamu..

Bila melihat raut wajahnya saya terimbas kepada salah satu buku Pak Arena berjudul "Meniti Kala". Buku ini banyak menceritakan kisah perjalanan kehidupan Pak Arena bersama Ibu Halimah dan berlatarkan negeri Makasar, Sabah dan Arab. Betapa romantisnya pasangan ini. Dapat dirasakan bahawa mereka adalah pasangan yang saling lengkap melengkapi. Semasa membaca novel tersebut beberapa tahun dahulu, saya kurang dapat menghayatinya kerana banyak fakta sejarah dipaparkan dalam novel tersebut, yang kadang kala melayukan mata, namun setelah bersua muka dengan empunya diri yang dikisahkan, imbauan tersebut mula kembali bertandang. Dan saya mula memegang buku ini untuk membaca kembali.

Nah! Kini, saya telah bertemu dengan wanita yang banyak berkorban jiwa dan raga demi mengangkat cita-cita dan perjuangan suami tercinta. Semoga hidup Ibu sentiasa diberkati dan dipanjangkan usia.


p/s Maaf, gambar belum dapat dimuatturun.

2 comments:

mie3425 said...

Sungguh bagus ayat yang terdapat di dalam nukilan anda. Tahniah,sehingga membuatkan hati saya tersentuh. Salam dari Taiping, 15 Mac 2009, Hotel Furama.

Atie_sl said...

Wah!Wah! Balik Perak dok hotel ker?