Saturday, April 4, 2009

Secebis Kenangan Bersama PM Ke-6

Satu Malaysia : Rakyat Didahulukan. Pencapaian diutamakan

Itulah slogan/gagasan YAB Dato' Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-6 pada 3 April 2009.

Tidak ingin mengulas lebih lanjut tentang makna di sebalik gagasan ini kerana banyak pihak telah memberi pelbagai ulasan yang kebanyakannya menyambut baik gagasan tersebut. Dan sudah tentunya harapan kita rakyat Malaysia adalah agar gagasan ini tidak sekadar menjadi slogan tetapi akan direalisasikan oleh pemimpin nombor satu negara dengan sokongan padu semua rakyat Malaysia dan doa kita agar rakyat Malaysia dapat kembali bersatu. Tidak salah meletakkan harapan dan impian.

Berbalik kepada tajuk di atas, saya ingin menceritakan secebis kisah atau kenangan seorang 'rakyat kecil' bersama dengan PM ke-6 ini. Kisah ini bagi kebanyakan orang bukanlah istimewa mana pun tapi bagi saya ia cukup terkesan dan bermakna kerana seperti saya nyatakan di atas, saya hanya rakyat kecil yang tiada sebarang kepentingan selain dari hubungan rakyat biasa dengan pemimpin negara.

1986, 23 tahun yang lalu adalah pertemuan pertama saya dengan YAB Dato Sri Najib (DSN). Ketika itu saya berada di tingkatan 3 SMK Sungai Koyan. DSN membuat lawatan ke SMK Sg Koyan bertemu dengan penduduk Felda di situ selaku Menteri Besar Pahang. Pada tahun tersebut juga pilihan raya diadakan. Maka banyaklah gambar DSN diedar dan posternya digantung merata tempat. Salah sebuah rumah yang menampal gambar DSN dan Dr Mahathir adalah rumah saya. Gelihati juga bila memikirkan di ruang tamu rumah ditampal dengan gambar pemimpin negara, bukan gambar keluarga.

Maka saya yang ketika itu seorang gadis remaja yang sedang 'kembang mekar' (hahaha... tafsiran yang agak melampau), merasa agak teruja melihat DSN yang emmm... hensem giler. Agak melucukan bila saya menjadikan tabiat memandang poster DSN setiap hari sebelum pergi sekolah dan selepas balik sekolah. Inspirasilah kononnya.

Ditakdirkan pula pada tahun 1997, DSN selaku Pengerusi ITNM ketika itu buat pertama kali menjejakkan kaki ke pejabat ITNM yang menyewa di Menara Pengkalen. Saya telah ditugaskan menyemat bunga (cossage) dan mengiringi DSN menandatangani buku pelawat. Susahnya nak cucuk pin kat baju melayu biru turquoise yang dipakai kerana baju tu betul-betul melekat kat dada. Nasib baik kuku panjang sikit, bolehle cubit baju tu. Hahaha... (pernah juga semat bunga di baju Datin Sri Rosmah pada tahun 1994, mudah sekali sebab Datin Sri pakai baju berkerawang).

Dalam lawatan DSN itu juga saya menjadi pengacara majlis (MC) untuk majlis MoU antara ITNM dengan Penerbit Buku. DSN sebagai tetamu kehormat menjadi saksi pada majlis tersebut. Masa muda belia, antara tugas utama saya adalah sebagai penyambut tamu atau memegang dulang cenderamata, tapi bila sudah 'kertu' ni, tempatnya di belakang aje... bagi can pada pelapis.

Selepas berpindah ke bangunan baru di Wisma ITNM, DSN sekali lagi ke ITNM. Kali ini bagi mempengerusikan mesyuarat lembaga pengarah. Kalau tidak silap hujung tahun tahun 1998 atau awal 1999. Beliau ketika itu juga adalah Menteri Pelajaran. Saya seperti biasa ditugaskan menghidangkan minuman/makanan untuk beliau. Selain kuih-muih, hidangan lain ialah buah anggur dan mangga. Habis licin buah itu dimakan oleh DSN...

Berikutnya pada awal tahun 2005, DSN yang ketika itu adalah Timbalan Perdana Menteri kembali sekali lagi ke SMK Sg Koyan untuk program Pemimpin Bersama Rakyat. Emak telah memanggil saya pulang kerana adik lelaki saya yang ketika itu di tingkatan 5 ditugaskan mengetuai perbarisan kadet tentera memberi tabik hormat kepada DSN. Emak rasa bangga dan meminta saya menjadi juru gambar. Salah satu gambar yang diambil adalah gambar terakhir antara emak dan abah kerana pada 13 April 2005, abah telah kembali ke rahmatullah.

20 Jan 2009 pula, ITNM mengadakan majlis pelancaran buku Politik Baru di Shangri La Putrajaya. DSN dijemput sebagai tetamu kehormat yang menyempurnakan pelancarannya. Saya hanya dapat melihat beliau dari jarak beberapa meter sahaja kerana terlalu ramai yang mengerumuni beliau dan saya pula bertugas di meja pendaftaran (dah kertu lah katakan.. oppsss).

Yang terkini, bukan pertemuan. Saya telah diminta oleh Pengerusi ITNM Y. Bhg Dato' Dr Wan Hashim Wan Teh untuk menaip skrip yang dihasilkannya untuk dokumentari pengkisahan Pak Lah dan DSN yang akan disiarkan oleh RTM sempena pelantikan DSN sebagai PM ke-6 dan penyerahan kuasa Pak Lah kepada DSN. Bila menonton dokumentari tersebut pada 2 April & 3 April 2009, rasalah sedikit bangga sebab saya antara yang terlebih dahulu tahu kandungan skrip tersebut.

Apa yang dikisahkan di atas bukanlah untuk menunjuk-nunjuk kerana pengalaman itu hanyalah kecil tidak seperti sesetengah orang lain yang boleh duduk semeja degan DSN. Tetapi kesan dari pertemuan pertama pada 1986 membawa kepada kesinambungan hubungan antara "Pengerusi dan Pekerja" serta "Pemimpin dan Rakyat".

Betapa saya yang beberapa kali bertemu dengan DSN tidak dapat melupakan detik-detik pertemuan, apatah lagi dengan rakyat kecil lain yang mungkin hanya sekali bertemu atau yang langsung tidak pernah bersua muka dengan DSN atau pemimpin negara lain. Walaupun pemimpun negara juga manusia biasa, tetapi apabila rakyat biasa dapat menatap sendiri wajah mereka (bukan melalui kaca tv), perasaan dan hubungan adalah berbeza.

Oleh itu, wahai semua pemimpin negara, selalulah menjengah rakyat biasa yang kecil ini di kampung-kampung. Senyuman yang anda lemparkan dan pandangan mata anda ke arah kami akan menjalinkan satu rasa keakraban.

Mesej untuk YAB Dato Sri Najib

Tahniah dari kami rakyat Malaysia untuk YAB Dato Sri. Harapan kami agar Dato Sri dapat menyatukan kembali rakyat Malaysia dan mengeluarkan Malaysia dari belenggu krisis ekonomi.

Mesej untuk YBhg Datin Sri Rosmah Mansor

Sebagai wanita pertama negara, teruskan jalinan hubungan erat dengan rakyat jelata, mesra-mesrakan diri dengan rakyat bawahan seperti mana YABhg Tun Dr Siti Hasmah dan YABhg Tun Jeanne Abdullah amalkan.

Mesej untuk anak-anak Perdana Menteri Malaysia Ke-6

Jagalah tingkah laku dan pergaulan anda. Jagalah maruah ayahanda dan datuk anda. Kerana anda adalah kesinambungan legasi mereka.

Wednesday, April 1, 2009

Kenderaan Awam oh Kenderaan Awam

25 Mac 2009 (Rabu), saya datang lewat ke pejabat. Bukan pertama kali datang lewat, tapi lewat yang ini rasa geram semacam sebab saya keluar rumah pukul 6:30 pagi. 2 jam perjalanan tak boleh sampai ke pejabat lagi.

Kisahnya.... saya naik 3 kenderaan.


6:30 pagi berjalan kaki ke stesen bas berhampiran rumah. 6:45 pagi naik bas rapid U88 dari Seksyen 4 Kota Damansara. 7:55 pagi baru sampai di LRT Asia Jaya. Biasanya perjalanan ambil masa 45 minit tapi hari tu sampai 1 jam lebih. Ramai sangat penumpang. Bas rapid ni pulak kena bayar dulu baru boleh naik, selagi penumpang tak boleh pijak tangga depan bas untuk bayar, selagi tulah bas tak jalan...yang penumpang pulak degil tak nak masuk ke dalam walau driver dok jerit suruh masuk dalam. Kalau yang dah dapat pegang tiang, macam tak nak lepas.

Bila sampai kat Asia Jaya, bas tak berhenti kat tempat biasa (depan stesen minyak) tapi berhenti dekat bus stop asia jaya (depan Hilton PJ). Pemandu berhemah kut...patuh arahan. Yang nak ke lrt ni pun berpatah le balik jalan kaki ke lrt... jauh jugak bagi pejalan kaki. Nak lintas jalan pulak punyalah susah.

Dah sampai kat LRT punyalah ramai orang. Hmmm... berdisiplin semua. Beratur panjang mengikut pintu mana nak masuk.. suka tengok. Lalu LRT pertama laju je tak berhenti pun. Kosong. Lalu LRT kedua, padat. Tak boleh masuk, Barisan pertama je boleh masuk. Lalu LRT ketiga, barisan saya dah tak boleh masuk. Tapi memandangkan saya ni kecik, boleh menyelit sikit. Pintu tertutup hanya beberapa inci dari muka saya.

Dah sampai stesyen Wangsa Maju, terus ambik teksi. Nasib baik teksi pun beratur tunggu penumpang. Sampai pejabat, isi borang masuk lewat pejabat.

Apa yang saya cerita di atas tadi, bukan nak mengeluh tentang kepayahan dan nak jelaskan kepada bos kenapa saya lewat, tapi tentang keberkesanan pengangkutan awam. Memang betul sistem pengangkutan awam telah mengalami perubahan dan peningkatan dari segi kecekapan perkhidmatan tapi masih boleh terus diperbaiki. Kesian dekat penumpang yang setiap hari terpaksa melalui keperitan menunggu dan bersesak. Nasib baiklah di awal pagi semuanya wangi-wangi...

Kita pernah tengok Pak Menteri naik LRT, berdiri sama penumpang lain. Tapi masalahnya mereka naik LRT pukul 10:00 pagi. Cubalah pukul 7:00 pagi dok tercongok kat stesen lrt, baru le tau macam mana rasa. Saya yang jarang-jarang naik lrt ni rasa macam letih sangat, apatah lagi bagi mereka yang setiap hari macam tu... Tekanan..tekanan.

Kepada kawan-kawan yang rumah dekat dengan pejabat. Hargailah kesenangan yang anda perolehi. Kalau anda juga lewat ke pejabat, entah le... Agak-agaknya keluar rumah pukul 8:00 ke? Kalau cam tu bangun pukul berapa ek? Takkan lepas subuh tidur balik kut?

Tuesday, March 17, 2009

Antara Tugas dan Keluarga

Dalam hidup kita selalu berada di persimpangan. Jalan mana harus dituju, kanan atau kiri atau terus. Berpatah balik tidak mungkin.

Ini juga terjadi pada saya semalam. Sewaktu mesyuarat jawatankuasa majlis pelancaran kempen beli buku ITNM di MPH Mid Valley pada 22 Mac ini, saya diminta untuk turut sama menyumbang tenaga. Saya menjadi kelu untuk menjawab "maaf, tidak boleh". Ayat itu amat jarang saya tuturkan. Selalunya saya akan melibatkan diri dalam setiap aktiviti ITNM.

Apa boleh buat, saya perlu menghadiri perkahwinan anak sepupu (dalam erti kata lain, anak saudara)di Perlis pada 21 Mac ini. Sementelah saya sahaja wakil dari adik beradik yang akan ke sana. Lagi pula perancangan telah lama diatur.

Begitu juga dengan minggu lepas, saya juga jadi wakil keluarga untuk hadir ke majlis perkahwinan anak jiran di kampung. Saya terharu bila mereka cukup berterima kasih saya datang. Dan saya dengan rasa bersalah memberi seribu satu alasan kenapa adik-adik lain tidak boleh turut serta (semua alasan benar, bukan bohong).

Begitulah kalau sudah jadi ketua dalam keluarga. Tapi, tidaklah boleh selalu saja kena utamakan keluarga dan mengabaikan tugas dan tanggung jawab terhadap syarikat. Kalau tidak kerana gaji yang syarikat bagi, macam mana nak sara keluarga beb.... pikiaq lah ye...

Makan dan makan lagi

Di Kuching, tidak sukar untuk mencari tempat makan. Harganya berpatutan dan sedap-sedap belaka. Tidak jauh beza dengan di Semenanjung. Salah satu restoran yang kami kunjungi adalah Restoran Barok. Restoran ini terletak di Kampung Boyan (seberang sungai dari Water Front). Restoran ini juga pernah dikunjungi krew JJCM. Kami dilayan oleh Pengurus restoran ini sendiri dan kami amat menyanjung tinggi sikap keramahan pekerja-pekerja di restoran ini. Kami juga bernasib baik kerana pada malam tersebut, restoran ini mengadakan pertunjukan kebudayaan kerana ada beberapa rombongan pelancong asing singgah makan di situ. Kami yang sememangnya kecoh, tidak melepaskan peluang bergambar dengan penari-penari tersebut.

Bersama si cantik manis, Lucy dan penari lelaki yang tidak sempat ditanya namanya.

Zamri yang pada siangnya tidak dapat mengikut kami ke Serikin dan Sarawak Cultural Village, tiba-tiba muncul. Nampaknya dia dan para pekerja di Barok ni macam geng je... Malam itu, kami berpakat untuk balik ke hotel yang terletak di seberang sungai dengan menggunakan perahu. Tambangnya 50 sen je. Yang makcik-makcik naik kereta. Rasa takut juga menyeberang Sungai Sarawak, manalah tahu kut-kut muncul ‘Mr Croc’. Alahai... tak sempat nak posing, tup-tup dah sampai ke seberang. Hmmmm... dekat je.

Terpikir pulak kenapa kerajaan Sarawak tak bina je jambatan yang boleh menghubungkan kedua-dua tebing ini. Kan ke senang, tak payahlah nak naik perahu, jalan kaki pun boleh sampai. Tapi, bila difikirkan balik secara logiknya, penggunaan perahu inilah salah satu tarikan pelancong dan mengekalkan sejarah/tradisi pengangkutan utama masyarakat di Sarawak pada masa dahulu dan di beberapa kawasan pendalaman pada masa kini. Tambahan pula, inilah punca mata pencarian beberapa pemilik perahu yang kebanyakannya telah berusia.

Esoknya, 23 Feb 2009, hari sepatutnya kami balik ke KL. Tapi, ada sesuatu yang masih belum dibeli – ikan terubuk masin. Kami dibawa oleh Shamsul dan Zamri ke pasar basah yang menjual ikan terubuk masin. Walaupun hari tersebut adalah hari Isnin, mereka masih sempat meluangkan masa menemani kami ke pasar basah. (Hello brader, pelanggan bank u all tak marah ker?)

Zamri sedang tandatangan 'autograf' pada kotak bungkusan ikan masin.

Monday, March 16, 2009

Sarawak Cultural Village

Sarawak Cultural Village (SCV) merupakan satu lagi tempat yang patut dikunjungi jika ke Sarawak. Di sinilah kita boleh mengenali budaya dan cara hidup masyarakat Sarawak. Sepanjang perjalanan ke sana, kami dapat melihat dari jauh Gunung Santubong.

Kami tiba ke SCV hampir jam 3:00 petang (22 Feb 09), iaitu lebih kurang 45 minit perjalanan dari bandar Kuching. Di sini, kita boleh menyaksikan persembahan kebudayaan yang diadakan 2 kali sehari iaitu jam 11:00 pagi dan 4:00 petang. Tiket masuk adalah RM68.00 seorang, oleh kerana kami beli tiket dari travel agent, maka dapatlah murah sikit RM55.00 je. Dan memandangkan kami tiba agak lewat, maka kami tergesa-gesa melawat rumah-rumah yang dibina mengikut suku kaum/etnik seperti Iban, Melanau, Bidayuh, Melayu, Orang Ulu dan Penan. SCV dibina di atas tanah seluas 17 ekar.

Bergambar di hadapan rumah Bidayuh, Orang Ulu dan Melanau.


Gambar Kiri : Keremboi - sejenis kulit siput yang dimainkan untuk mengambil semangat semasa musim menuai padi.
Gambar Kanan : Tengkorak digantung dan dinyalakan di sini bagi menjauhkan roh-roh jahat.

Tepat jam 4:00 petang, sesi kedua persembahan kebudayaan dimulakan. Kami dihidangkan dengan tarian yang juga mewakili suku kaum. Antaranya,

1) Tarian Ngajat/Pahlawan
Tarian selamat datang suku kaum Iban yang ditarikan semasa menyambut kepulangan pahlawan dari peperangan.



2) Tarian Ngajat Lesung
Juga tarian dari suku kaum Iban. Pahlawan Iban mengangkat lesung seberat 20kg menggunakan gigi (kekuatan luar biasa). Menunjukkan kekuatan dan kepahlawan seorang wira.


3) Tarian Rejang Baeh
Tarian dari suku kaum Bidayuh. Biasanya dipersembahkan selepas musim menuai untuk hiburan.



4) Tarian Langgi Julang
Juga tarian dari suku kaum Bidayuh. Ini adalah tarian ritual yang dipersembahkan semasa acara pemilihan ketua kampung.



5) Tarian Kanjet Ngeleput
Kelincahan seorang pahlawan yang memburu mencari mangsa di hutan menggunakan sumpitan.


6) Tarian Serampang Baru
Tarian ini menggambarkan suasana kegembiraan kaum Melayu di perkampungan semasa menyambut sesuatu perayaan.


Kami diajak untuk menari bersama. Kalau tidak kerana Mak Ngah ada bersama dalam rombongan ini, dah lama saya naik ke pentas. Ish! Ish! Ish!

Opsss... Hati-hati jika berjalan di atas papan-papan yang menghubungkan antara sebuah rumah dengan rumah yang lain, kalau tidak, anda akan 'disapa' oleh -------->

Friday, March 13, 2009

5 PRINSIP RUKUNEGARA

KEPERCAYAAN KEPADA TUHAN
KESETIAAN KEPADA RAJA DAN NEGARA
KELUHURAN PERLEMBAGAAN
KEDAULATAN UNDANG-UNDANG
KESOPANAN DAN KESUSILAAN



5 Prinsip Rukunegara yang bukan sahaja perlu dihafal tetapi perlu difahami, dihayati, diamalkan.

Entahlah!!!! Apa sudah jadi dengan rakyat Malaysia sekarang, apa sudah jadi dengan bangsa Melayu?

"Mereka yang tidak mengingati masa lampau akan disumpah untuk mengulanginya"... George Santayana, ahli falsafah dan penyajak Amerika kelahiran Sepanyol

Renung-renungkan dan beri ruang untuk berfikir sejenak. Bukan untuk diri kita tetapi untuk masa depan anak cucu cicit kita.....

Thursday, March 12, 2009

LAFAZ AKHIR DARI PEJUANG BANGSA

Telah 2 kali ITNM mengadakan majlis tahlil untuk Sasterawan Negara. Kali pertama adalah pada 29.8.2008 yang diadakan untuk Allahyarham S.Othman Kelantan yang kembali ke rahmatullah pada 31.7.2008. Dan pada 11.3.2009 pula, majlis yang sama diadakan untuk Allahyarham Arena Wati yang menghadap Ilahi pada 25.1.2009. Majlis kali ini dianjurkan bersama PENA.

Seperti kata En Salleh Rahmat dari PENA, "yang telah kembali ke rahmatullah amat memerlukan doa kita, bukan anugerah...". Ya, saya sememangnya tersentuh dengan kalimah itu, sepatah ayat yang mengandungi maksud yang mendalam. Dan betapa usaha ITNM ini akan mendapat keberkatan dari-Nya. InsyaAllah. Amin..

En. Hasanudin (anak kelima Allahyarham) pula memulakan bicara betapa beliau bersyukur kerana masih ada rakan-rakan seperjuangan arwah ayahandanya yang masih mengingati arwah.

Beliau juga melafazkan kembali kata-kata terakhir ayahandanya, (renung dan hayati kata-kata ini).

"ayah bukan melayu politik, ayah bukan melayu korporat, ayah ialah melayu darah." Dan kerana itulah hidup beliau hanya diwarnakan dengan satu warna.

"bila ayah sudah pergi, bukan sahaja doa-doa datang daripada yang hidup tetapi doa-doa juga datang dari orang-orang yang telah pergi."

"perjuangkan, bela dan pertahankan Melayu Nusantara"... kata-kata terakhir Allahyarham Arena Wati.

Ibu Halimah

Wanita gigih di usia emas yang sentiasa menemani suami (Allahyarham Pak Arena) di kala susah dan senang. Saya memandang sayu wajah ibu ini dan semasa memimpin tangannya (buat seketika), saya teringatkan arwah mak yang dijemput tuhan hampir 2 tahun lalu. Ah! alangkah bahagianya kalaulah tangan yang saya pimpin dan genggam itu adalah tangan mak dan betapa kalau mak masih dipanjangkan usianya. Ya, Allah. Apa yang telah merasuki fikiranku. Ampuni dosa hambamu..

Bila melihat raut wajahnya saya terimbas kepada salah satu buku Pak Arena berjudul "Meniti Kala". Buku ini banyak menceritakan kisah perjalanan kehidupan Pak Arena bersama Ibu Halimah dan berlatarkan negeri Makasar, Sabah dan Arab. Betapa romantisnya pasangan ini. Dapat dirasakan bahawa mereka adalah pasangan yang saling lengkap melengkapi. Semasa membaca novel tersebut beberapa tahun dahulu, saya kurang dapat menghayatinya kerana banyak fakta sejarah dipaparkan dalam novel tersebut, yang kadang kala melayukan mata, namun setelah bersua muka dengan empunya diri yang dikisahkan, imbauan tersebut mula kembali bertandang. Dan saya mula memegang buku ini untuk membaca kembali.

Nah! Kini, saya telah bertemu dengan wanita yang banyak berkorban jiwa dan raga demi mengangkat cita-cita dan perjuangan suami tercinta. Semoga hidup Ibu sentiasa diberkati dan dipanjangkan usia.


p/s Maaf, gambar belum dapat dimuatturun.