Showing posts with label CERITAKU. Show all posts
Showing posts with label CERITAKU. Show all posts

Wednesday, July 1, 2009

Tugas Baru

Hampir 3 bulan blog ni tak bernyawa. Tapi cuba nak hidupkan semula mulai hari ni.

1 Julai 2009, bermula tugas baru di Unit HR. Dari tingkat 5 ke tingkat 2. Dah terbiasa, awal pagi terus tekan lif no.5, dah pijak karpet merah baru teringat. Oh! Tempat aku bukan lagi di sini. Alang-alang di tingkat 5, terus jumpa Ina, terangkan serba sedikit kepada Ina tentang beberapa perkara. Komputer pun mula dialih ke tempat baru. Jam 10:00 pagi, bermesyuarat dengan En Razin dan semua staf Unit HR. Tugas bermula jam 11:30 pagi. Hmmm... banyak juga. Semuanya nak kejar dateline untuk laporan mesyuarat JK sumber manusia tak lama lagi.

Walau ada yang gelar "guru disiplin", "pengawas" dan sebagainya, tak apalah. Gelarlah apa pun. Yang penting saya perlu laksanakan tugas yang diamanahkan. Kalau tak buat, maknanya saya tidak amanah. Kalau tak amanah, gaji yang saya dapat tu macam mana pulak?

Sepanjang bertugas sebagai PA, ada pahit manisnya. Yang paling manis, bila diri rasa dihargai. Tak kisahlah dengan apa cara sekalipun. Tapi yang pahitnya bila ada yang tak senang dengan diri ini. Minta maaflah kalau ada dokumen yang kena dibetulkan dulu sebelum bawa masuk kat big boss. Kalau dah nampak silap atau ada yang tak kena, takkan nak bawa masuk juga, kan. Dan minta maaf juga kalau ada surat, paper work dll yang kena edit sedikit. Bukan nak tunjuk pandai tapi tak senang hati nak serah kat big boss. Sering cuba nak jadi baik (kalau tidak terbaik pun), tapi...Allahualam...

Cukup untuk setakat hari ini. Nak sambung kerja pulak.

p/s : Kat tingkat 2 ni ramai pulak pak lebai hari ni. Saiful beli banyak kopiah nak sedekah. Moga dapat banyak pahala. Rahman pulak memanjang dengan lagu nasyidnya. Bila dia balik baru boleh pasang lagu omputih... nak pasang masa dia ada, malu plak...hehehe...

Saturday, April 4, 2009

Secebis Kenangan Bersama PM Ke-6

Satu Malaysia : Rakyat Didahulukan. Pencapaian diutamakan

Itulah slogan/gagasan YAB Dato' Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-6 pada 3 April 2009.

Tidak ingin mengulas lebih lanjut tentang makna di sebalik gagasan ini kerana banyak pihak telah memberi pelbagai ulasan yang kebanyakannya menyambut baik gagasan tersebut. Dan sudah tentunya harapan kita rakyat Malaysia adalah agar gagasan ini tidak sekadar menjadi slogan tetapi akan direalisasikan oleh pemimpin nombor satu negara dengan sokongan padu semua rakyat Malaysia dan doa kita agar rakyat Malaysia dapat kembali bersatu. Tidak salah meletakkan harapan dan impian.

Berbalik kepada tajuk di atas, saya ingin menceritakan secebis kisah atau kenangan seorang 'rakyat kecil' bersama dengan PM ke-6 ini. Kisah ini bagi kebanyakan orang bukanlah istimewa mana pun tapi bagi saya ia cukup terkesan dan bermakna kerana seperti saya nyatakan di atas, saya hanya rakyat kecil yang tiada sebarang kepentingan selain dari hubungan rakyat biasa dengan pemimpin negara.

1986, 23 tahun yang lalu adalah pertemuan pertama saya dengan YAB Dato Sri Najib (DSN). Ketika itu saya berada di tingkatan 3 SMK Sungai Koyan. DSN membuat lawatan ke SMK Sg Koyan bertemu dengan penduduk Felda di situ selaku Menteri Besar Pahang. Pada tahun tersebut juga pilihan raya diadakan. Maka banyaklah gambar DSN diedar dan posternya digantung merata tempat. Salah sebuah rumah yang menampal gambar DSN dan Dr Mahathir adalah rumah saya. Gelihati juga bila memikirkan di ruang tamu rumah ditampal dengan gambar pemimpin negara, bukan gambar keluarga.

Maka saya yang ketika itu seorang gadis remaja yang sedang 'kembang mekar' (hahaha... tafsiran yang agak melampau), merasa agak teruja melihat DSN yang emmm... hensem giler. Agak melucukan bila saya menjadikan tabiat memandang poster DSN setiap hari sebelum pergi sekolah dan selepas balik sekolah. Inspirasilah kononnya.

Ditakdirkan pula pada tahun 1997, DSN selaku Pengerusi ITNM ketika itu buat pertama kali menjejakkan kaki ke pejabat ITNM yang menyewa di Menara Pengkalen. Saya telah ditugaskan menyemat bunga (cossage) dan mengiringi DSN menandatangani buku pelawat. Susahnya nak cucuk pin kat baju melayu biru turquoise yang dipakai kerana baju tu betul-betul melekat kat dada. Nasib baik kuku panjang sikit, bolehle cubit baju tu. Hahaha... (pernah juga semat bunga di baju Datin Sri Rosmah pada tahun 1994, mudah sekali sebab Datin Sri pakai baju berkerawang).

Dalam lawatan DSN itu juga saya menjadi pengacara majlis (MC) untuk majlis MoU antara ITNM dengan Penerbit Buku. DSN sebagai tetamu kehormat menjadi saksi pada majlis tersebut. Masa muda belia, antara tugas utama saya adalah sebagai penyambut tamu atau memegang dulang cenderamata, tapi bila sudah 'kertu' ni, tempatnya di belakang aje... bagi can pada pelapis.

Selepas berpindah ke bangunan baru di Wisma ITNM, DSN sekali lagi ke ITNM. Kali ini bagi mempengerusikan mesyuarat lembaga pengarah. Kalau tidak silap hujung tahun tahun 1998 atau awal 1999. Beliau ketika itu juga adalah Menteri Pelajaran. Saya seperti biasa ditugaskan menghidangkan minuman/makanan untuk beliau. Selain kuih-muih, hidangan lain ialah buah anggur dan mangga. Habis licin buah itu dimakan oleh DSN...

Berikutnya pada awal tahun 2005, DSN yang ketika itu adalah Timbalan Perdana Menteri kembali sekali lagi ke SMK Sg Koyan untuk program Pemimpin Bersama Rakyat. Emak telah memanggil saya pulang kerana adik lelaki saya yang ketika itu di tingkatan 5 ditugaskan mengetuai perbarisan kadet tentera memberi tabik hormat kepada DSN. Emak rasa bangga dan meminta saya menjadi juru gambar. Salah satu gambar yang diambil adalah gambar terakhir antara emak dan abah kerana pada 13 April 2005, abah telah kembali ke rahmatullah.

20 Jan 2009 pula, ITNM mengadakan majlis pelancaran buku Politik Baru di Shangri La Putrajaya. DSN dijemput sebagai tetamu kehormat yang menyempurnakan pelancarannya. Saya hanya dapat melihat beliau dari jarak beberapa meter sahaja kerana terlalu ramai yang mengerumuni beliau dan saya pula bertugas di meja pendaftaran (dah kertu lah katakan.. oppsss).

Yang terkini, bukan pertemuan. Saya telah diminta oleh Pengerusi ITNM Y. Bhg Dato' Dr Wan Hashim Wan Teh untuk menaip skrip yang dihasilkannya untuk dokumentari pengkisahan Pak Lah dan DSN yang akan disiarkan oleh RTM sempena pelantikan DSN sebagai PM ke-6 dan penyerahan kuasa Pak Lah kepada DSN. Bila menonton dokumentari tersebut pada 2 April & 3 April 2009, rasalah sedikit bangga sebab saya antara yang terlebih dahulu tahu kandungan skrip tersebut.

Apa yang dikisahkan di atas bukanlah untuk menunjuk-nunjuk kerana pengalaman itu hanyalah kecil tidak seperti sesetengah orang lain yang boleh duduk semeja degan DSN. Tetapi kesan dari pertemuan pertama pada 1986 membawa kepada kesinambungan hubungan antara "Pengerusi dan Pekerja" serta "Pemimpin dan Rakyat".

Betapa saya yang beberapa kali bertemu dengan DSN tidak dapat melupakan detik-detik pertemuan, apatah lagi dengan rakyat kecil lain yang mungkin hanya sekali bertemu atau yang langsung tidak pernah bersua muka dengan DSN atau pemimpin negara lain. Walaupun pemimpun negara juga manusia biasa, tetapi apabila rakyat biasa dapat menatap sendiri wajah mereka (bukan melalui kaca tv), perasaan dan hubungan adalah berbeza.

Oleh itu, wahai semua pemimpin negara, selalulah menjengah rakyat biasa yang kecil ini di kampung-kampung. Senyuman yang anda lemparkan dan pandangan mata anda ke arah kami akan menjalinkan satu rasa keakraban.

Mesej untuk YAB Dato Sri Najib

Tahniah dari kami rakyat Malaysia untuk YAB Dato Sri. Harapan kami agar Dato Sri dapat menyatukan kembali rakyat Malaysia dan mengeluarkan Malaysia dari belenggu krisis ekonomi.

Mesej untuk YBhg Datin Sri Rosmah Mansor

Sebagai wanita pertama negara, teruskan jalinan hubungan erat dengan rakyat jelata, mesra-mesrakan diri dengan rakyat bawahan seperti mana YABhg Tun Dr Siti Hasmah dan YABhg Tun Jeanne Abdullah amalkan.

Mesej untuk anak-anak Perdana Menteri Malaysia Ke-6

Jagalah tingkah laku dan pergaulan anda. Jagalah maruah ayahanda dan datuk anda. Kerana anda adalah kesinambungan legasi mereka.

Wednesday, April 1, 2009

Kenderaan Awam oh Kenderaan Awam

25 Mac 2009 (Rabu), saya datang lewat ke pejabat. Bukan pertama kali datang lewat, tapi lewat yang ini rasa geram semacam sebab saya keluar rumah pukul 6:30 pagi. 2 jam perjalanan tak boleh sampai ke pejabat lagi.

Kisahnya.... saya naik 3 kenderaan.


6:30 pagi berjalan kaki ke stesen bas berhampiran rumah. 6:45 pagi naik bas rapid U88 dari Seksyen 4 Kota Damansara. 7:55 pagi baru sampai di LRT Asia Jaya. Biasanya perjalanan ambil masa 45 minit tapi hari tu sampai 1 jam lebih. Ramai sangat penumpang. Bas rapid ni pulak kena bayar dulu baru boleh naik, selagi penumpang tak boleh pijak tangga depan bas untuk bayar, selagi tulah bas tak jalan...yang penumpang pulak degil tak nak masuk ke dalam walau driver dok jerit suruh masuk dalam. Kalau yang dah dapat pegang tiang, macam tak nak lepas.

Bila sampai kat Asia Jaya, bas tak berhenti kat tempat biasa (depan stesen minyak) tapi berhenti dekat bus stop asia jaya (depan Hilton PJ). Pemandu berhemah kut...patuh arahan. Yang nak ke lrt ni pun berpatah le balik jalan kaki ke lrt... jauh jugak bagi pejalan kaki. Nak lintas jalan pulak punyalah susah.

Dah sampai kat LRT punyalah ramai orang. Hmmm... berdisiplin semua. Beratur panjang mengikut pintu mana nak masuk.. suka tengok. Lalu LRT pertama laju je tak berhenti pun. Kosong. Lalu LRT kedua, padat. Tak boleh masuk, Barisan pertama je boleh masuk. Lalu LRT ketiga, barisan saya dah tak boleh masuk. Tapi memandangkan saya ni kecik, boleh menyelit sikit. Pintu tertutup hanya beberapa inci dari muka saya.

Dah sampai stesyen Wangsa Maju, terus ambik teksi. Nasib baik teksi pun beratur tunggu penumpang. Sampai pejabat, isi borang masuk lewat pejabat.

Apa yang saya cerita di atas tadi, bukan nak mengeluh tentang kepayahan dan nak jelaskan kepada bos kenapa saya lewat, tapi tentang keberkesanan pengangkutan awam. Memang betul sistem pengangkutan awam telah mengalami perubahan dan peningkatan dari segi kecekapan perkhidmatan tapi masih boleh terus diperbaiki. Kesian dekat penumpang yang setiap hari terpaksa melalui keperitan menunggu dan bersesak. Nasib baiklah di awal pagi semuanya wangi-wangi...

Kita pernah tengok Pak Menteri naik LRT, berdiri sama penumpang lain. Tapi masalahnya mereka naik LRT pukul 10:00 pagi. Cubalah pukul 7:00 pagi dok tercongok kat stesen lrt, baru le tau macam mana rasa. Saya yang jarang-jarang naik lrt ni rasa macam letih sangat, apatah lagi bagi mereka yang setiap hari macam tu... Tekanan..tekanan.

Kepada kawan-kawan yang rumah dekat dengan pejabat. Hargailah kesenangan yang anda perolehi. Kalau anda juga lewat ke pejabat, entah le... Agak-agaknya keluar rumah pukul 8:00 ke? Kalau cam tu bangun pukul berapa ek? Takkan lepas subuh tidur balik kut?

Tuesday, March 17, 2009

Makan dan makan lagi

Di Kuching, tidak sukar untuk mencari tempat makan. Harganya berpatutan dan sedap-sedap belaka. Tidak jauh beza dengan di Semenanjung. Salah satu restoran yang kami kunjungi adalah Restoran Barok. Restoran ini terletak di Kampung Boyan (seberang sungai dari Water Front). Restoran ini juga pernah dikunjungi krew JJCM. Kami dilayan oleh Pengurus restoran ini sendiri dan kami amat menyanjung tinggi sikap keramahan pekerja-pekerja di restoran ini. Kami juga bernasib baik kerana pada malam tersebut, restoran ini mengadakan pertunjukan kebudayaan kerana ada beberapa rombongan pelancong asing singgah makan di situ. Kami yang sememangnya kecoh, tidak melepaskan peluang bergambar dengan penari-penari tersebut.

Bersama si cantik manis, Lucy dan penari lelaki yang tidak sempat ditanya namanya.

Zamri yang pada siangnya tidak dapat mengikut kami ke Serikin dan Sarawak Cultural Village, tiba-tiba muncul. Nampaknya dia dan para pekerja di Barok ni macam geng je... Malam itu, kami berpakat untuk balik ke hotel yang terletak di seberang sungai dengan menggunakan perahu. Tambangnya 50 sen je. Yang makcik-makcik naik kereta. Rasa takut juga menyeberang Sungai Sarawak, manalah tahu kut-kut muncul ‘Mr Croc’. Alahai... tak sempat nak posing, tup-tup dah sampai ke seberang. Hmmmm... dekat je.

Terpikir pulak kenapa kerajaan Sarawak tak bina je jambatan yang boleh menghubungkan kedua-dua tebing ini. Kan ke senang, tak payahlah nak naik perahu, jalan kaki pun boleh sampai. Tapi, bila difikirkan balik secara logiknya, penggunaan perahu inilah salah satu tarikan pelancong dan mengekalkan sejarah/tradisi pengangkutan utama masyarakat di Sarawak pada masa dahulu dan di beberapa kawasan pendalaman pada masa kini. Tambahan pula, inilah punca mata pencarian beberapa pemilik perahu yang kebanyakannya telah berusia.

Esoknya, 23 Feb 2009, hari sepatutnya kami balik ke KL. Tapi, ada sesuatu yang masih belum dibeli – ikan terubuk masin. Kami dibawa oleh Shamsul dan Zamri ke pasar basah yang menjual ikan terubuk masin. Walaupun hari tersebut adalah hari Isnin, mereka masih sempat meluangkan masa menemani kami ke pasar basah. (Hello brader, pelanggan bank u all tak marah ker?)

Zamri sedang tandatangan 'autograf' pada kotak bungkusan ikan masin.

Monday, March 16, 2009

Sarawak Cultural Village

Sarawak Cultural Village (SCV) merupakan satu lagi tempat yang patut dikunjungi jika ke Sarawak. Di sinilah kita boleh mengenali budaya dan cara hidup masyarakat Sarawak. Sepanjang perjalanan ke sana, kami dapat melihat dari jauh Gunung Santubong.

Kami tiba ke SCV hampir jam 3:00 petang (22 Feb 09), iaitu lebih kurang 45 minit perjalanan dari bandar Kuching. Di sini, kita boleh menyaksikan persembahan kebudayaan yang diadakan 2 kali sehari iaitu jam 11:00 pagi dan 4:00 petang. Tiket masuk adalah RM68.00 seorang, oleh kerana kami beli tiket dari travel agent, maka dapatlah murah sikit RM55.00 je. Dan memandangkan kami tiba agak lewat, maka kami tergesa-gesa melawat rumah-rumah yang dibina mengikut suku kaum/etnik seperti Iban, Melanau, Bidayuh, Melayu, Orang Ulu dan Penan. SCV dibina di atas tanah seluas 17 ekar.

Bergambar di hadapan rumah Bidayuh, Orang Ulu dan Melanau.


Gambar Kiri : Keremboi - sejenis kulit siput yang dimainkan untuk mengambil semangat semasa musim menuai padi.
Gambar Kanan : Tengkorak digantung dan dinyalakan di sini bagi menjauhkan roh-roh jahat.

Tepat jam 4:00 petang, sesi kedua persembahan kebudayaan dimulakan. Kami dihidangkan dengan tarian yang juga mewakili suku kaum. Antaranya,

1) Tarian Ngajat/Pahlawan
Tarian selamat datang suku kaum Iban yang ditarikan semasa menyambut kepulangan pahlawan dari peperangan.



2) Tarian Ngajat Lesung
Juga tarian dari suku kaum Iban. Pahlawan Iban mengangkat lesung seberat 20kg menggunakan gigi (kekuatan luar biasa). Menunjukkan kekuatan dan kepahlawan seorang wira.


3) Tarian Rejang Baeh
Tarian dari suku kaum Bidayuh. Biasanya dipersembahkan selepas musim menuai untuk hiburan.



4) Tarian Langgi Julang
Juga tarian dari suku kaum Bidayuh. Ini adalah tarian ritual yang dipersembahkan semasa acara pemilihan ketua kampung.



5) Tarian Kanjet Ngeleput
Kelincahan seorang pahlawan yang memburu mencari mangsa di hutan menggunakan sumpitan.


6) Tarian Serampang Baru
Tarian ini menggambarkan suasana kegembiraan kaum Melayu di perkampungan semasa menyambut sesuatu perayaan.


Kami diajak untuk menari bersama. Kalau tidak kerana Mak Ngah ada bersama dalam rombongan ini, dah lama saya naik ke pentas. Ish! Ish! Ish!

Opsss... Hati-hati jika berjalan di atas papan-papan yang menghubungkan antara sebuah rumah dengan rumah yang lain, kalau tidak, anda akan 'disapa' oleh -------->

Friday, March 6, 2009

Membeli-belah di Serikin

Awal pagi 22 Feb 2009 (Ahad), kami bertolak ke Kampung Serikin yang terletak di daerah Bau. Perjalanan mengambil masa 1 jam. Kami menyewa Pregio yang boleh memuatkan seramai 12 orang. Perjalanan kami turut ditemani oleh Shamsul. Zamri, pada mulanya beria-ia nak ikut, tapi kerana ada tugasan lain yang perlu diselesaikan, maka hasrat tu tak tercapai.

Serikin, perkampungan kaum Bidayuh yang terletak bersempadan dengan Kalimantan. Kata orang, kalau ke Sarawak, tidak sah kalau tidak ke Serikin. Tetapi, sepanjang penelitian saya, tidaklah ada yang istimewa sangat. Mungkin kerana saya bukan ‘kaki shopping’ menyebabkan hilang minat dan tumpuan.

Selain daripada penduduk tempatan, peniaga di sini juga terdiri daripada rakyat Indonesia yang menyeberangi sempadan khas datang untuk berniaga. Pelbagai barangan terdapat di sini seperti tikar, telekung, kain batik, periuk belanga, cenderamata, anyaman, keropok dll. Agak bosan juga berada di sini sebab tak boleh cuci mata (peniaganya tak ada yang rupa cam SRK, hehehe...).

Membeli-belah (kononnya) di Serikin. Yang dibeli hanya tikar, brooch dan belinjau.

Hampir tengah hari, kami bergegas pulang ke hotel untuk bersiap ke destinasi seterusnya iaitu Perkampungan Budaya Sarawak (Sarawak Cultural Village). Dalam perjalanan pulang, kami singgah sebentar di tempat penduduk tempatan menjual sayuran. Saya tertarikh dengan sejenis tumbuhan. Kata penjual, itulah daun sup. Tapi rupanya pelik semacam. Bila dihidu, memang bau macam sup.

Kami turut singgah makan ‘ayam penyek’, satu lagi makanan popular di Sarawak. ‘Ayam Penyek’ adalah hidangan paha ayam kampung yang digoreng garing, dihidang bersama ulam-ulaman dan sambal cili, dimakan dengan nasi putih. Hidangannya ringkas sahaja tetapi tetap menyelerakan. Ia seperti 'ayam pop' iaitu hidangan Minang, cuma bezanya ayam pop dihidang bersama cili kicap.


Ayam penyek yang telah dicubit sedikit isinya kerana perut telah berkeriot..

Setelah kenyang, kami balik ke hotel dan bersiap untuk ke Sarawak Cultural Village pula. Tunggu episod seterusnya.

Tuesday, March 3, 2009

Pengalaman Pertama di Kuching

Berkunjung ke Sarawak adalah sesuatu yang diimpikan tetapi mendengar perkhabaran daripada beberapa teman bahawa tiada apa-apa yang istimewa di Sarawak, menyebabkan keinginan pudar.

Tetapi cadangan sepupu yang mengajak, ditambah pula dengan tawaran tambang murah AirAsia, saya tidak teragak-agak lagi memenuhi ajakan. Pemergian kami seramai 11 orang ke Kuching amat bermakna dan menyeronokkan.

Hari pertama tiba (21 Feb 2009), kami bertemu dengan rakan dari Semenanjung yang sudah 2 tahun bekerja di Sarawak. Beliaulah yang menjadi pemandu pelancong (thanks Shamsul). Makan tengah hari kami di sebuah kafeteria yang terletak dalam bangunan Tun Jugah. Merasalah mee kolok yang popular di Sarawak. Hari pertama, kami hanya bersiar-siar di Water Front dan kebetulan kami menginap di Grand Margarita (dulunya Holiday Inn) yang betul-betul berhampiran water front. Selain itu, sempat juga meninjau kedai cenderamata di Main Bazaar.


Bergambar berlatar belakangkan bangunan Dewan Undangan Negeri
Sarawak yang masih dalam pembinaan.

Jeti di Water Front. Bangunan putih
di belakang adalah Astana - dibina pada 1870
oleh Charles Brooke untuk isterinya Ranee Margaret. Sekarang adalah kediaman Gabenor.

Sebelah malamnya kami ke pasar Satok (terletak di Jalan Satok) yang popular dengan jualan barangan cenderamata yang murah. ‘Rombongan Cik Kiah’ kami kali ini bertambah seorang lagi kenalan baru yang memang berasal dari Kuching. Zamri namanya. Kami makan malam di gerai berhampiran pasar tersebut. Semasa makan malam, ada antara kami memesan minuman yang mempunyai nama yang agak pelik – ‘amoi cantik’ dan ‘lady white’.

Inilah rupa 'amoi cantik' dan 'lady white'.

Makan punyalah lama hingga tak sedar bahawa jam telah menunjukkan ke angka 10. Malang sekali bagi kami kerana pasar dah tutup. Hahaha… padan muka.

Nota : Pasar Satok / Sunday Market dibuka pada hari Sabtu (6:00 petang – 10:00 malam), dan hari Ahad (pagi – 12:00 tengah hari). Kebanyakan peniaga adalah dari kalangan wanita Bidayuh.


Tidak sah kalau ke Kuching tapi tak bergambar dengan kucing.

Wednesday, December 31, 2008

Happy 14th Anniversary!

24 Disember 2008 - ulang tahun perkahwinan adik di bawahku yang ke-14. Adik yang seorang ini berkahwin dalam usia yang muda - 21 tahun. Mempunyai 2 orang anak, yang sulung lelaki berusia 11 tahun dan yang bongsu perempuan berusia 8 tahun. Kedua-duanya mempunyai perwatakan yang berbeza (tapi saiz badan sama, debab, adik lebih besar dari abang). Abangnya lembut dan suka berfikir. Adiknya baran dan sensitif tak tentu pasal.

Alkisah, semasa tarikh tersebut, budak 2 orang ni telah membuat kejutan kepada mama dan babah mereka. Mereka telah membeli 2 botol pewangi yang berharga RM50.00 setiap satu dan sebiji kek. Yang kelakarnya, mama diarong jadi drebar tapi diaorang sendiri yang masuk ke pusat membeli belah untuk beli hadiah tu. Guna duit tabungan sendiri. Tapi mama diaorang buat-buat tak tau je lah...

Pada 24hb malam, budak-budak ni minta mama dan babah masuk bilik. Jangan keluar-keluar. Lepas 1/2 jam, baru mereka panggil keluar (lama weh!!). Bila keluar je, terus mereka nyanyi lagi "Happy Anniversary" (nada happy birthday) dan bawa kek untuk ditiup oleh mama dan babah. Lepas tu bagi hadiah. Mama dan babah ni pun buat-buat le terperanjat. Kalau tak, kecik hati pulak anak-anaknya.

Selain daripada hadiah, si abang dan adik ni menyampaikan 'perasaan' mereka untuk mama dan babah, sesuatu yang lahir dari hati anak-anak.

"Mama dan babah adalah gelaran yang dipanggil oleh 2 kanak-kanak untuk 2 insan yang tersayang. Mama diibaratkan air. Tanpa air, kita akan kehausan. Babah diibaratkan seperti udara, tanpa udara kita akan mati. Dua insan ini amat berguna pada kami berdua. Tanpa mereka kami tidak boleh hidup. Tanpa mereka kami akan keseorangan. Merekalah yang menjaga kita dari kecil hingga besar. Tanpamu apakah makna kehidupan kami. Mereka berdua itu adalah kamu berdua yang amat kami cintai".

Itulah budak-budak sekarang. Teringat aku pada tahun lepas, mereka telah menghadiahkan cincin berharga RM10.00 untuk mama mereka. Cincin tu dibeli di Jusco One Utama. Waktu mama mereka sibuk memilih pakaian, mereka telah 'melarikan diri' sebentar ke tempat jualan aksesori. Aku ada bersama melihat dari jauh mereka berjual beli dengan sales girl.

Wednesday, December 3, 2008

Pungguk rindu bulan?

Semalam, sana-sini orang dok cakap tentang bulan senyum. Kat TV ada, surat khabar ada, internet lagi lah pulak. Rasa kempunan juga tak dapat tengok yang real. Nak ditakdirkan, semasa perjalanan balik kerja semalam, nampaklah bulan senyum tu tapi sekejap je sebab tak lama kemudian telah dilitupi awan. Hanya bulan yang ada. Dua planet yang jadi 'mata' nya tak nampak.

Kalau CL dalam blognya ada 3 lagu tentang bulan. Saya pun ada juga. Lagu tu kegemaran arwah mak dan arwah abah. Teringat suatu kisah dulu kat kampung, masa black out. Oleh kerana ada satu je lampu minyak tanah, maka kami semua duduk berkumpul mengelilingi lampu tu. Nak tidur tak mengantuk, nak membaca pun ala-ala nampak dengan tak. Jadi, masa tulah yang sesuai untuk bersembang anak beranak. Kami mula mengorek rahsia macam mana abah ngorat mak dulu.

Mak malu nak cerita. Tapi abah dengan bangganya mula bercerita. Malam-malam abah selalu pergi bawah rumah mak dan hulurkan surat melalui celah-celah lantai. Rumah dulu-dulu kan tinggi. Lantai pulak bukannya rapat-rapat. Mak pulak bila bau wangi je, bersedialah nak ambik surat tu sebab dia tahu abah dah datang. Perfume apa abah pakai tak tau le.. Bila abah dengan mak kawin, orang macam pelik sebab abah ni kategori handsome macam hindustan tapi mak biasa-biasa aje. Melayu tipikal. Macam mana abah boleh terpikat dengan mak? Abah kata sebab abah suka tengok mak selalu selitkan rambutnya di celah telinga. Orang dulu-dulu anggap bila perempuan selit rambut celah telinga, perempuan tu perempuan baik. Iye Ke? Tak taulah saya, betul ke tak fakta tu... sebab tak pernah dengar. Tapi yang pasti, yang empunya diri saja yang tau kenapa dia jatuh cinta. Kerana cinta wujud bukan pada paras rupa semata-mata, tapi pelbagai faktor. Sebab itulah wujud pepatah "tak kenal maka tak cinta".

Berbalik kisah bulan tadi. Bila kami dah boring, tak tau nak bercerita apa lagi, kami minta mak dan abah nyanyi. Nak tau lagu apa? Haaa... lagu pungguk rindu bulan. Saya tak tau tajuk lagu tu tapi saya masih ingat liriknya.

L: Oh bulan di mana kamu berada, menyinari alam bahagia
P: Oh pungguk aku ada di sini, menunggu suaramu berbunyi
L: Oh pilu rasa hatiku, kalau tak memandang wajahmu (2x)
P: Aku juga kalau tak memandangnya, tidur baring semua tak kena (2x)
LP: Bilakah masanya kita berjumpa, tunggulah hari yang bahgia (2x)

Dan malam tu, tidur kami didodoi dengan nyanyian mak dan abah..... :-)

Tuesday, December 2, 2008

Macam mana nak jawab nih!!

"Maklong, ketuanan melayu tu apa?"
Itulah soalan yang keluar dari mulut anak buahku yang baru berusia 11 tahun sebaik saja memegang akhbar pagi Ahad lepas. Malam tadi dia tanya soalan tentang askar. Kenapa askar itu..askar ini... Bla..bla..bla.. Aku memang sering diuji dengan soalan-soalan yang kaw-kaw punya dari sorang anak buah ni. Paling aku ngeri bila dia buka ruangan politik dan membacanya dengan tekun. Sah! Kejap lagi ada le soalannya.
Yang aku takut bukannya sebab nak menjawab soalan tu tapi bagaimana nak jawab mengikut tahap pemikiran budak darjah 5. Paling aku takut nak jawab soalan tentang politik dan tentang perkauman. Takut nanti apa yang aku jawab, dia akan bercerita dengan kawan-kawannya. Budak umur tu bukan tau membezakan tahap sensitiviti sesuatu isu/perkara.
Lepas aku terangkan serba sedikit apa tu ketuanan melayu, dia termenung. Senyap. Aku ingat dia dah faham le. Harap-harap jangan tanya lagi. Masa tu dalam perjalanan nak balik kg. Semasa perjalanan balik, dia tanya soalan yang sama lagi. "Maklong, Aan tak faham le yang maklong cakap tadi". Aku yang tengah pening naik Avanza duduk belakang sekali, cuma dapat cakap "nantilah, Maklong cerita lain kali".
Satu lagi soalan yang sering dia tanya ialah "Maklong, kenapa Maklong tak nak kawin? Bila maklong tua, siapa nak jaga maklong? Aku jawab "Aan lah". Dia jawab lagi "kalau Aan dah kawin, macam mana?"..... Lu pikir le sendiri apa jawapan gua.. sebab gua tak jawab apa-apa.... Gua buat muka tuna... gua bukak cerita lain.

Adikku, Adikku jua

Betullah kata orang, kalau kita mula menulis blog, walaupun atas kemahuan sendiri dan tanpa paksaan dari mana-mana pihak, kita akan terus rasa terikat untuk meneruskannya. Seperti ada suatu tanggungjawab lain pulak. Nasihat seorang teman, "tulislah dari hati". Terima kasih CL.
Petang ni hujan lagi... dan hari ni pulak merempit. Apa lagi, layan blog le.. Kereta yang masuk workshop tu dah dapat balik tapi macam biasa adik pinjam sat. Biasalah nama pun kakak... Adik nak pinjam sehari, kakaknya pulak offer berhari-hari. Bukannya apa, kesian pulak dekat dia. Ada adik ipar dari kg datang ke rumah dia, takkan tak bawa jalan2. Air muka dia sebagai abang ipar kena jaga juga. Dan dalam hidup ni kita kena fikirkan tentang orang lain juga apatah lagi kalau darah daging sendiri. Perlu selalu meletakkan diri kita di tempat orang lain.
Bila sebut tentang adik beradik ni, saya selalu jadi sensitif. Maklumlah hanya adik-adik je tempat saya bergantung harap. Kalau adik-adik tinggikan suara sikit, terasanya berminggu-minggu. Masa tu baru terfikir macam ni agaknya apa yang seorang ibu rasa bila anak-anak melawan cakap. Dan saya pulak jenis simpan dalam hati. Nasib kaulah Labu.... Kami hanya tinggal 5 beradik. Alhamdulillah semua duduk KL/PJ. Jadi, boleh jumpa selalu. Dan nasib baik jugak 3 orang adik dah berkahwin cuma seorang saja lagi, InsyaAllah tahun depan. Kursus kawin pun dah pegi. Harap-harap jadilah yek..
Hari Sabtu lepas, rumah saya yang selalu kosong jadi hingar-bingar. Seronoknya dapat berkumpul semua adik-beradik. Asalnya cuma sepupu nak datang pasang langsir baru, bawa sama mak sedara yang baru sampai dari Perlis nun. Langsir tu sepupu tolong jahitkan. Langsir nak pakai raya tapi tak siap-siap. Bukan nak salahkan dia, tuan punya langsir ni pun kata, tak apa. Take your time... Alah! Rumah ni pun bukan ada orang nak datang. Bila dapat tau mak sedara nak datang, saya pun masak laksa kegemarannya. Adik-adik lain yang awalnya tak dijemput pun bila dapat tau, datang jugak. Almaklumlah.... dah lama tak rasa laksa kakak depa.
Projek nak pasang langsir dah jadi macam projek makan-makan pulak. Nasib baik makanan cukup. Sempat lagi buat cekodok. Seronoknya. Penuh rumah tu sampai kerusi terpaksa dialihkan. Rumah kecik le katakan. Excited punya pasal sampai saya jatuh kerusi, fuh!! Lebam.
Siap pasang langsir, semua gelak sebab langsir memang ngam dengan sofa, tapi cat dinding pulak kaler lain. Dah jadi rumah lukisan plak. Haru ni. Sebelum saya memangsakan depa untuk ambil kontrak cat rumah, tak semena-mena depa rela dimangsakan. Lega.. Thanks Bro & Sis. Upah makan tengahari cukup kot no... Bakal adik ipar pun merelakan diri menjadi mangsa. Projek cat rumah tunggu tahun depan lah... bajet lari.
Nak tengok muka bakal adik ipar? Pergi le ke Imigresen Kajang. Tengok contoh mengisi borang. Dalam banyak-banyak pegawai Imigresen, muka dia yang terpilih, kelakar le kamu ni Mir....
Agak lewat malam, maka mereka pun beransur-ansur meninggalkan kediamanku yang kecil ini. Maka kesunyian pun bertandang lagi... Dan seperti biasa, tuan rumah ini memandang keliling dengan pandangan yang kosong... Mata pun layu. Zzzzzz.......

Friday, November 28, 2008

Tua? Terimalah hakikat

Ada sesuatu yang agak menggembirakan hari ni bila ada seseorang yang tidak pernah bertemu muka dengan saya (tetapi sering berhubungan menerusi telefon) telah mengatakan suara saya macam orang muda umur 20-an. Sedap. (Dia kata, bukan saya kata tau). Bila saya minta dia teka umur, katanya umur saya mungkin 40-an. Adussss...Dusyum! Dusyum!..
Cam ne ni beb!..Ada sumber lain ke yang pernah beritahu dia muka saya macam mana? Dik, umur akak 30-an le sayang ooii.
Bila difikirkan tentang umur yang semakin meningkat, memang rasa tertekan. Bila tengok cermin, maka nampaklah garis-garis di bawah mata dan alur antara hidung dan bibir yang semakin ketara. Masa tu macam-macam le pencuci nak dicuba dari yang harga RM4.90 hingga le yang ke RM130.00. Tapi..macam biasa. Hampeh!. Hakikatnya, kalau umur dah meningkat tu, terimalah seadanya. Nasihat seorang teman, senyum selalu dan ceriakan diri.
Ah! tak kisahlah... berapa pun umurnya. Yang penting, hati muda selalu... hehehe...

Gara-gara tulisan....

Sedang terfikir nak tulis apa petang ni, tidak semena-mena terjadi suatu peristiwa melucukan. Bukan tentang saya tetapi tentang si gadis yang sentiasa mengaku dirinya cantik. (Ok le tu Shida, siapa lagi nak puji kita kalau tak kita sendiri yang puji, betul tak). Gara-gara kandungan dalam blognya menyebabkan satu ofis kat tingkat 5 kecoh. Siapa lagi tukang mengecohkannya kalau tak bossnya sendiri. Orang lain yang baca, mungkin tak sampai hati nak ketawakan Shida tapi bila boss dia sendiri buat hal, yang lain tumpang semangkuk le... Kesian kau Shida...
Alkisah... Shida dalam coretannya ada menceritakan sedikit tentang perkataan 'sebilik'. Yang dimaksudkannya ialah pernah berkongsi bilik pejabat dengan seorang staf lelaki tetapi bila dia menggunakan ayat "pernah sebilik dengan saya", telah mencetuskan salah interpretasi. Walaupun orang yang mengenali Shida faham maksudnya, tapi gara-gara bossnya, Shida yang selalu ceria jadi tak keruan. Ini bukan malu yang dibuat-buat tapi malu yang kalau boleh tak nak datang ofis dah....
Moral of the story is... kalau tulis tu biar terang cik Shida ooii...
Dalam bidang penterjemahan pun begitu juga. Seseorang penterjemah bukan setakat perlu tahu bahasa sasarannya tetapi juga perlu mengetahui tentang latar budaya sesuatu bangsa dan bahasa tersebut supaya tidak disalah ertikan.

Thursday, November 27, 2008

Hati-Hati Di Jalan Raya

Petang ni hajat nak balik awal, tapi hujan lebat sangat. Walaupun berbumbung tapi rasa takut nak memandu masa jalan licin masih belum hilang. Kemalangan tak terduga pagi 5 November lalu menjadi pengajaran. Meski tiada kecederaan tapi memandangkan hampir seharian kat Balai Polis Gombak , mengundang rasa fobia. Jadi, sambil itu cuba tukar template blog ni yang asalnya kaler pink tu.

Imbas balik kisah 5 Nov. Kemalangan bumper to bumper melibatkan 8 buah kereta, hanya kerana bungkusan plastik sampah dari lori mana entah. Polis ambil laporan sorang saja. Lepas buat laporan, kena jumpa Sarjan pulak untuk soal siasat kejadian. Yang nak buat siasatan tu pun sorang juga. Sambil dok menunggu giliran untuk bersemuka dengan Sarjan, tiba-tiba nampak kelibat Sarjan tu naik kereta polis. Mana pulak dia pergi? Haru ni. Sampai pukul berapa nak tunggu? Rupanya Sarjan keluar pergi tempat kemalangan lain yang baru dilaporkan. Daripada pukul 11:00am kat balai sampai pukul 4:30pm baru selesai.

Oleh sebab itu, berhati-hatilah di jalan raya.


Tuesday, November 25, 2008

Al-Fatihah

Hari ini, 25 Nov 2008 (jam 12:00 tengahari), saya menerima emel dari Ija yang memforwardkan emel En Bakri. Bunyinya "Mak saya meninggal pd jam 7 pg tadi. Saya bercuti sehingga jumaat". Semasa dapat emel tu, saya rasa lemah badan, turut bersedih atas apa yang menimpa En Bakri dan keluarganya. Saya pernah kehilangan mak dan abah, saya tahu apa yang En Bakri rasa. Sewaktu menaip ini pun, saya rasa jiwa bergelodak. Kesedihan pemergian mak tahun lepas dan pemergian abah 3 tahun lepas masih dirasai. Hanya mereka yang pernah mengalaminya sahaja yang tahu bagaimana perasaannya.

Teringat saya semasa balik dari Cuti Raya Puasa baru-baru ni. En Bakri ada cerita tentang maknya yang sakit. Semasa bercerita matanya merah dan bergenang air mata. Saya tak sanggup melihat air mukanya kerana mata saya juga sudah berkaca. Dan tak semena-mena air mata saya juga turut gugur. Kerana malu pada dia, saya hanya menundukkan muka bila bercakap dengan dia. Semoga En. Bakri dan keluarga tabah. Semua orang pasti akan melaluinya. Hanya doa dari kita untuk arwah orang tua kita. Al-Fatihah.

p/s : Saya rasa amat terharu apabila menerima sms daripada En Shaharudin Ali (MD ITNM sebelum ini) pada 13 April 2008 yang mengingati perginya setahun mak saya ke Rahmatullah. Terima kasih En Shali ...

Terima Kasih Bro

Terima kasih Bro Che Lah dan Bro Suhaimi.
Terima kasih juga Sis Shida

Itu 3 sahabat yang akan terus membimbing saya dalam hal-hal blog ni. (harapnye gitulah ye. kekawan...).

Dah 2 hari tak buat new post. Hajat hati nak buat tiap-tiap hari. Tapi masa pulak tak cukup. Yang pasti waktu kerja tak boleh diusik. Kat rumah pulak tak ada komputer. Tapi, petang ni sementara menunggu Pak Supir, sempat le jenguk sekejap.

Sebut pasal Pak Supir ni, saya memang terhutang budi pada Bro Khalil (nama manja Ami... Pehh!!). Dah lama kereta saya masuk workshop, dialah tempat saya menumpang pergi dan balik kerja. Kebetulan juga jalan sama, rumah pun dekat je. Kira macam habis sepuntung rokok le perumpamaannya.

Rasa macam Boss pulak bila diambil di rumah dan dihantar juga hingga sampai kat rumah. Memang terhutang budi.... malu pun ada. Dan Bro Khalil ni pun dikenali di kalangan teman2 sebagai orang yang ringan tulang dan rajin membantu teman kala kesusahan. Semoga Bro mendapat baby yang sihat dan hidup dilimpahi kenikmatan dan kebahagiaan. Amin!

Dan sebut pasal ringan tulang ni pulak, saya rasa zaman sekarang sukar nak cari orang yang ringan tulang (Ni bukan ayat nak puji Khalil lebih-lebih, tapi berdasarkan pengalaman). Saya selalu mengalami situasi yang mana kadang-kadang saya rasa macam tiada lelaki gentleman kat dunia ni. Maaf, kalau keterlaluan. Gentleman bukan bermaksud kena bukak pintu kereta untuk perempuan, kena tarik kerusi perempuan bila duduk dll. Contohnya, kalaulah nampak seseorang perempuan itu menjinjing barang berat, apalah salahnya hulurkan bantuan. Terpulanglah sama ada dia nak terima bantuan atau tidak. Saya pernah mengalami suatu peristiwa ada kaum lelaki yang 'melarikan diri' bila nampak saya bawa balik barang shopping untuk pantry ofis. Takut saya minta tolong agaknya.... tak apalah. Saya redha ajelah. Saya pun masih mampu, masih ada kudrat. Tapi tak semua begitu, masih ada yang sanggup berkata "Berat, kak? Bak, saya tolong". Terima kasih kepada yang telah menghulurkan bantuan. Semoga Allah membalas budi baik kalian. Mungkin sesetengah orang menganggap isu ringan tulang ini isu remeh, tapi bagi saya ia menunjukkan perilaku mulia seseorang. Anda akan dihormati bukan sahaja dari kekayaan atau jawatan anda semata-mata, tetapi dari sikap dan tingkah laku anda. Yang baik itu akan sering diingati dan dikenang orang. Dengan menulis coretan ini, semoga saya juga akan mengubah sikap saya menjadi yang lebih baik.

Saturday, November 22, 2008

Surprise!!

Tujuan utama datang pejabat hari ni nak buat power point presentation boss untuk seminar saintifik hari selasa depan. Tapi sampai pukul 3:00 tak buat lagi. Tak apa. Sat lagi boleh mula, sikit je lagi. Dah buat semalam, cuma nak touch up sikit je... Sibuk benda lain, dok cuba explore blogspot ni... tekan sana tekan sini. Tak sedar masa berlalu. Betullah kata orang, bila dah mulakan sesuatu, kita akan teruja untuk meneruskannya.

Sedari tadi kat depan komputer, lupa pulak nak buka e-mel. Bila buka je e-mel depan mata terpacul nama seorang bekas ketua hakim negara. Biar betul. Sah! memang betul.... Can u imagine? Seorang bekas ketua hakim negara hantar emel kepada seorang yang kerdil ini.... Isi kandungannya untuk mendapatkan maklumat/biodata tentang seorang ahli politik yang baru menghasilkan sebuah buku yang akan dilancarkan tidak lama lagi. ITNM menterjemah buku tersebut ke dalam bahasa Inggeris dan akan menerbitkannya. Oleh kerana buku tersebut belum dilancarkan, jadi saya rasa eloklah saya tidak nyatakan lagi di sini. Nanti kalau dah dilancarkan, saya akan uar-uarkan sedikit mengenainya.

Sedikit tentang buku tersebut yang boleh saya kongsi. Saya sebagai individu yang langsung tidak pernah aktif dalam politik (tetapi sentiasa mengambil tahu tentang perkembangan politik negara), merasa amat teruja dengan pendapat penulis mengenai politik masa kini. Apa yang diketengahkan memang benar. Walaupun, saya sukar memahami sesetengah perkara yang diutarakan, namun ada pendapat penulis yang memang diakui kebenarannya (iaitu dari kaca mata orang macam saya kepada sesetengah ahli politik).

Susah ye menjadi ahli politik ni... antara tanggung jawab, amanah dan cara meningkatkan diri saling berkait rapat. Begitu juga susahnya menjadi pemimpin. Kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai.. Renung-renungkan!! (meminjam kata keramat Prof Izi yang menjadi idola si "cute')....

Kali Pertama

Sejak Jun 2008 aku memasang angan-angan dan hasrat untuk memiliki sebuah blog. Aku merasa cemburu apabila rakan seangkatan membina blognya yang bagiku amat menarik dan informatif. Aku berkali-kali dicabar oleh dia. Tetapi setiap kali hasrat hendak dizahirkan setiap kali itulah pelbagai perasaan menguasai diri. Mampukah aku untuk menulis? Katanya, tidak sukar apabila kita telah memulakan.

Setelah dicabar lagi beberapa kali (dengan si dia yang lain pula), aku memberanikan diri. Hari ini (22.11.08), jam 11:00 pagi aku memanggil si "cute" (cute ker? Hahaha...) untuk mengajar aku. Dan akhirnya terhasillah sebuah blog yang diberi nama AKU, DIA, KAMU.

Aku ditanya oleh si "cute" kenapa AKU, DIA, KAMU. Jawapanku mudah saja. Hidup kita dikelilingi oleh alam dan manusia. Yang berinteraksi secara terus dengan kita adalah manusia iaitu aku, dia dan kamu sendiri. Yang akan mengisi cetusan nuraniku nanti juga adalah berkaitan dengan diriku, dirinya dan diri kamu semua yang berada di sekelilingku.

Terima kasih untuk dia yang telah mencetuskan semangat untukku menulis. Terima kasih kepada kamu yang meluang masa untuk membaca. Tahniah untuk aku yang berani sedikit untuk keluar dari ruang lingkup yang biasa.

Aku tidak petah berbicara. Kadang-kadang ada sesuatu ingin kusampaikan tetapi tidak terluah dengan kata-kata. Inilah ruang yang akan aku guna sebaik mungkin, jika berkelapangan.

KALI PERTAMA aku ini diharap tidak menjadi KALI TERAKHIR......