Friday, March 6, 2009

Membeli-belah di Serikin

Awal pagi 22 Feb 2009 (Ahad), kami bertolak ke Kampung Serikin yang terletak di daerah Bau. Perjalanan mengambil masa 1 jam. Kami menyewa Pregio yang boleh memuatkan seramai 12 orang. Perjalanan kami turut ditemani oleh Shamsul. Zamri, pada mulanya beria-ia nak ikut, tapi kerana ada tugasan lain yang perlu diselesaikan, maka hasrat tu tak tercapai.

Serikin, perkampungan kaum Bidayuh yang terletak bersempadan dengan Kalimantan. Kata orang, kalau ke Sarawak, tidak sah kalau tidak ke Serikin. Tetapi, sepanjang penelitian saya, tidaklah ada yang istimewa sangat. Mungkin kerana saya bukan ‘kaki shopping’ menyebabkan hilang minat dan tumpuan.

Selain daripada penduduk tempatan, peniaga di sini juga terdiri daripada rakyat Indonesia yang menyeberangi sempadan khas datang untuk berniaga. Pelbagai barangan terdapat di sini seperti tikar, telekung, kain batik, periuk belanga, cenderamata, anyaman, keropok dll. Agak bosan juga berada di sini sebab tak boleh cuci mata (peniaganya tak ada yang rupa cam SRK, hehehe...).

Membeli-belah (kononnya) di Serikin. Yang dibeli hanya tikar, brooch dan belinjau.

Hampir tengah hari, kami bergegas pulang ke hotel untuk bersiap ke destinasi seterusnya iaitu Perkampungan Budaya Sarawak (Sarawak Cultural Village). Dalam perjalanan pulang, kami singgah sebentar di tempat penduduk tempatan menjual sayuran. Saya tertarikh dengan sejenis tumbuhan. Kata penjual, itulah daun sup. Tapi rupanya pelik semacam. Bila dihidu, memang bau macam sup.

Kami turut singgah makan ‘ayam penyek’, satu lagi makanan popular di Sarawak. ‘Ayam Penyek’ adalah hidangan paha ayam kampung yang digoreng garing, dihidang bersama ulam-ulaman dan sambal cili, dimakan dengan nasi putih. Hidangannya ringkas sahaja tetapi tetap menyelerakan. Ia seperti 'ayam pop' iaitu hidangan Minang, cuma bezanya ayam pop dihidang bersama cili kicap.


Ayam penyek yang telah dicubit sedikit isinya kerana perut telah berkeriot..

Setelah kenyang, kami balik ke hotel dan bersiap untuk ke Sarawak Cultural Village pula. Tunggu episod seterusnya.

Tuesday, March 3, 2009

Pengalaman Pertama di Kuching

Berkunjung ke Sarawak adalah sesuatu yang diimpikan tetapi mendengar perkhabaran daripada beberapa teman bahawa tiada apa-apa yang istimewa di Sarawak, menyebabkan keinginan pudar.

Tetapi cadangan sepupu yang mengajak, ditambah pula dengan tawaran tambang murah AirAsia, saya tidak teragak-agak lagi memenuhi ajakan. Pemergian kami seramai 11 orang ke Kuching amat bermakna dan menyeronokkan.

Hari pertama tiba (21 Feb 2009), kami bertemu dengan rakan dari Semenanjung yang sudah 2 tahun bekerja di Sarawak. Beliaulah yang menjadi pemandu pelancong (thanks Shamsul). Makan tengah hari kami di sebuah kafeteria yang terletak dalam bangunan Tun Jugah. Merasalah mee kolok yang popular di Sarawak. Hari pertama, kami hanya bersiar-siar di Water Front dan kebetulan kami menginap di Grand Margarita (dulunya Holiday Inn) yang betul-betul berhampiran water front. Selain itu, sempat juga meninjau kedai cenderamata di Main Bazaar.


Bergambar berlatar belakangkan bangunan Dewan Undangan Negeri
Sarawak yang masih dalam pembinaan.

Jeti di Water Front. Bangunan putih
di belakang adalah Astana - dibina pada 1870
oleh Charles Brooke untuk isterinya Ranee Margaret. Sekarang adalah kediaman Gabenor.

Sebelah malamnya kami ke pasar Satok (terletak di Jalan Satok) yang popular dengan jualan barangan cenderamata yang murah. ‘Rombongan Cik Kiah’ kami kali ini bertambah seorang lagi kenalan baru yang memang berasal dari Kuching. Zamri namanya. Kami makan malam di gerai berhampiran pasar tersebut. Semasa makan malam, ada antara kami memesan minuman yang mempunyai nama yang agak pelik – ‘amoi cantik’ dan ‘lady white’.

Inilah rupa 'amoi cantik' dan 'lady white'.

Makan punyalah lama hingga tak sedar bahawa jam telah menunjukkan ke angka 10. Malang sekali bagi kami kerana pasar dah tutup. Hahaha… padan muka.

Nota : Pasar Satok / Sunday Market dibuka pada hari Sabtu (6:00 petang – 10:00 malam), dan hari Ahad (pagi – 12:00 tengah hari). Kebanyakan peniaga adalah dari kalangan wanita Bidayuh.


Tidak sah kalau ke Kuching tapi tak bergambar dengan kucing.

Sunday, March 1, 2009

Resipi : Ikan Bilis Goreng Bercili

Ada cadangan supaya saya masukkan resipi dalam ruangan ni, tapi masalahnya saya ni bila masak, tak pernah ada sukatan, semuanya main campak je. Jadi, cam ner nak buat resipi.

Tapi, baru sebentar tadi dok sembang dengan Shida dan Ija tentang ikan bilis. Jadi, saya nak share satu resipi paling mudah tapi paling menyelerakan. Lepas baca mesti korang kata, hampeh. Cuba dulu ye.



Bahan-bahan :
Ikan bilis yang halus atau yang disiat-siat halus
Bawang merah
Cili kering yang telah dikisar
Bahan perasa - gula + garam

Cara :
1. Goreng ikan bilis sehingga garing. Toskan.
2. Dalam kuali lain (gunakan minyak baru), goreng bawang merah sehingga garing, masukkan cili kisar (sikit je), dan tumis hingga garing, masukkan sedikit gula dan garam. Masukkan ikan bilis garing tadi, gaul rata.
3. Hidang dan makan serta merta dengan nasi panas.
Fuh... sedap beb...

Sekian, resipi untuk kali ini. Paling mudah. Orang yang tak pandai masak pun akan kata kacang je masak ni.

Next resipi ialah Nasi Goreng Ikan. Resipi ni kegemaran Shida. [Lepas ni kau jangan dok suruh akak buat nasi goreng tu, buat sendiri ye, dik :-) ]

Monday, February 16, 2009

Geng : Pengembaraan Bermula

Melihat kepada tajuknya tidak menimbulkan sebarang minat untuk menonton tetapi apabila ditambah dengan "Penampilan Istimewa Upin & Ipin", perasaan tidak sabar mula timbul sementara menanti tayangan yang bermula pada 12.2.2009.

Begitulah penangan si botak yang nakal - Upin & Ipin. Dua watak yang mengundang rasa keterujaan baik kanak-kanak mahupun yang dewasa. Bermula siaran 2 tahun lalu yang disiarkan semasa waktu hendak berbuka puasa. Bukan sahaja tidak sabar untuk mengisi perut yang seharian kosong tetapi untuk melihat aksi dan telatah si botak yang terkenal dengan trade mark "betul..betul..betul". Suara dan watak memang bertepatan sekali dan pemilihan adik Fatehah juga amat bijaksana walaupun suaranya dipinjamkan untuk watak lelaki. Jika menggunakan suara lelaki, mungkin watak Upin & Ipin perlu membesar kerana suara lelaki akan berubah dalam usia tertentu. Itu yang berlaku kepada watak Sin Chan.

Sebagai penonton dewasa yang sering juga menonton filem animasi antarabangsa, saya tidak teragak-agak untuk memberi pujian dan rasa hormat kepada geng Les Copaque yang berjaya 'memberi nyawa' pada watak, 'memberi warna' pada alam, 'memberi rasa' pada hati dan membawa satu dimensi baru filem animasi tempatan ke tahap antarabangsa.

Jika anda belum menonton atau yang ingin menonton lagi, jangan bergerak dari tempat duduk anda walaupun di skrin telah menayangkan "HABIS" kerana anda perlu duduk dan membaca setiap nama yang terlibat dalam pembikinan filem ini. Sesudah itu, anda akan faham apa yang saya maksudkan.

Saya tidak dibayar untuk menulis tentang ini. Tetapi apa yang ditulis adalah lahir dari hati kerana rasa bangga melihat anak-anak muda tempatan yang terserlah kreativitinya. Anda mungkin menganggap bahawa filem ini sama sahaja dengan filem animasi 'Putih', "Bujang Lapok" atau "Silat Lagenda" ataupun siri televisyen "Keluang Man". Ternyata anda silap.

Sesuatu yang saya fikir perlu diusahakan oleh Les Copaque adalah bagaimana hendak menarik perhatian golongan bukan Melayu untuk bersama-sama menikmati pengembaraan ini.

Thursday, January 29, 2009

BOOK REVIEW : The Israel Lobby and US Foreign Policy


J
udul : The Israel Lobby and US Foreign Policy


Pengarang : John J. Mearsheimer, Stephen M. Walt

Pengulas : Mohd Syatir Talib


PENGENALAN


Bermula dengan kertas kerja bertajuk “The Israel Lobby” yang diterbitkan dalam London Review of Books pada 23 Mac 2006, Professor John J. Mearsheimer dari University of Chicago dan Professor Stephen M. Walt dari Harvard University telah mengambil langkah yang tepat dengan mengolah dan mengembangkan kajian tersebut kepada sebuah buku. Buku “The Israel Lobby and US Foreign Policy” ini bukanlah buku yang pertama membincangkan isu pengaruh Israel ke atas dasar luar Amerika Syarikat (AS). Namun, kelebihan buku ini berbanding yang lain adalah butir-butir yang lebih terperinci terhadap hubungan intim AS-Israel yang mungkin belum kita ketahui.

Untuk memahami kandungan buku ini pembaca perlulah memahami definisi tindakan lobi Israel itu sendiri. Penulis telah mendefinisikan secara kasar maksud lobi Israel iaitu: “Gabungan kerjasama individu dan organisasi yang bergerak secara aktif dalam membentuk dasar luar AS agar menjurus ke arah pro-Israel”. Gerakan ini bukanlah perkara asing bagi masyarakat dunia, malah umum mengetahui bagaimana rapatnya hubungan AS dan Israel seolah-olah Israel adalah negara ke-51 di dalam AS.

Hubungan ini sudah bermula semenjak penubuhan negara Israel pada 1948, namun pada ketika itu pemimpin AS masih cuba mengekalkan kedudukan yang seimbang di antara sokongan mereka terhadap Israel dan negara-negara Arab. Walau bagaimanapun, beberapa peristiwa seperti Perang Enam Hari 1967, penjualan senjata oleh Soviet kepada negara-negara Arab, dan pertambahan kumpulan-kumpulan pro-Israel telah menyebabkan AS memilih untuk memberi sokongan padu terhadap negara Israel.

Kekuatan lobi Israel ini adalah disebabkan penglibatan individu-individu dan organisasi-organisasi tertentu. Antaranya ialah pejuang-pejuang Kristian seperti Gary Bauer, Jerry Falwell dan Ralph Reed serta penglibatan golongan berfahaman neo-konservatif seperti editor Wall Street Journal, Robert Bartley dan bekas Setiausaha Pendidikan, William Bennet. Ini cuma sebahagian kecil sahaja daripada ribuan golongan Yahudi-Amerika yang menjadi tunjang kepada kemandirian pengaruh Israel. Malah lobi ini diperkukuhkan lagi dengan penglibatan beberapa organisasi sebagai pemain utama seperti American Israel Public Affairs Committee (AIPAC), American Jewish Committee dan Jewish Institute for National Security Affairs (JINSA).


BAHAGIAN I


BAB I


Keadaan AS sebagai dermawan terulung (the great benefactor) kepada Israel dirumuskan dengan jelas dalam bab pertama. Sebagai contoh, bantuan AS boleh dikategorikan kepada dua perkara; bantuan ekonomi dan bantuan ketenteraan.

AS telah menghulurkan bantuan kewangan kepada Israel semenjak awal penubuhan negara tersebut. Dari tahun 1949 hingga 1965 bantuan sebanyak $63 juta dolar setahun telah diberikan. Peningkatan mendadak berlaku selepas Perang Enam Hari 1967 yang menyaksikan purata bantuan dari tahun 1966 hingga 1970 meningkat kepada $102 juta dolar setahun. Bantuan terus ditingkatkan terutamanya selepas Perang Yom Kippur 1973 menjadikan Israel negara yang menerima bantuan kewangan paling besar daripada AS semenjak 1976. Kedudukan itu masih kekal setiap tahun sehingga kini. Pada hari ini Israel menerima bantuan $3 bilion setahun bersamaan satu perenam daripada keseluruhan bantuan AS kepada negara luar.

Sikap AS yang pilih kasih terbukti apabila wujud unsur-unsur ‘double standard’ terhadap Israel. Contohnya, semenjak 1974 Israel telah menerima bantuan pinjaman wang bagi ketenteraan dalam jumlah yang besar. Walaupun dinamakan ‘pinjaman’, Israel tidak pernah diminta untuk membayar balik kepada AS. Oleh itu secara teknikalnya ia adalah ‘pinjaman’ tetapi secara praktikalnya ia dianggap ‘geran’.
Tambahan lagi, kebanyakan penerima bantuan AS menerima bantuan yang dalam bentuk suku tahunan. Namun, sejak 1982, Israel telah menerima bantuan tahunan secara ‘lump-sum’ setiap tahun dalam tempoh 30 hari pertama tahun fiskalnya. Malah Akta Kawalan Eksport Senjata AS 1976 telah mengehadkan bantuan kepada $250 juta sahaja untuk eksport senjata. Namun, Israel telah diberi pengecualian dengan menerima bantuan peralatan ketenteraan ‘sekali seumur hidup’ sebanyak $700 juta pada 5 November 1990. Hasilnya, Israel yang kecil itu muncul sebagai negara pembekal senjata yang kelapan terbesar di dunia. Bahkan AS juga telah menyediakan peruntukan sebanyak $3 bilion kepada Israel untuk membangunkan peluru berpandu Arrow, kereta kebal Merkava dan pesawat pejuang Lavi.

Dari aspek perlindungan diplomatik, umum mengetahui kedegilan AS mempertahankan segala tindakan Israel. Di antara tahun 1972 hingga 2006, Washington telah memveto resolusi Majlis Keselamatan PBB yang mengkritik Israel sebanyak 42 kali. Jumlah itu lebih besar daripada jumlah keseluruhan undi veto yang pernah dibuat oleh Ahli Tetap Majlis Keselamatan yang lain. Begitu juga apabila Majlis Perhimpunan Agung meluluskan resolusi yang mengecam tindakan Israel contohnya Resolusi 59/124 Majlis Perhimpunan Agung bahawasanya “Tindakan Israel menjejaskan hak asasi manusia rakyat Palestin”, AS akan bertindak mempertahankan Israel dan mengecam resolusi tersebut.

Contoh yang lain, apabila negara-negara Arab mendesak agar Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) menjalankan penyiasatan ke atas senjata nuklear Israel yang tidak pernah diisytiharkan, AS tampil dengan menyekat IAEA daripada berbuat demikian.

Tindakan AS ini disifatkan sebagai bantuan melampau yang melebihi daripada apa yang diperlukan oleh Israel. Ini menimbulkan satu persoalan iaitu: Adakah Israel ini aset atau liabiliti?

BAB II


Dalam bab kedua, penulis cuba membawa perspektif baru terhadap Israel dengan menggambarkan bahawa Israel sebenarnya sudah berubah daripada aset kepada liabiliti kepada AS.

Bantuan AS boleh dijustifikasikan sekiranya Israel mempunyai sumber asli yang banyak, atau terletak di kawasan geografi yang strategik, atau tindakan berkawan dengan Israel akan membawa lebih banyak negara sebagai kawan. Namun itu semua tidak berlaku. AIPAC, pertubuhan pro-Israel yang paling utama mendakwa “Kerjasama AS-Israel sebenarnya terbukti berkesan dalam menangani ancaman yang dihadapi bersama”.

Semasa penubuhan Israel pada 1948, AS tidak melihat negara ini sebagai aset yang strategik. Namun pandangan ini berubah semasa pentadbiran Kennedy yang berpendapat Israel perlu diberikan bantuan yang lebih memandangkan bantuan Soviet yang besar kepada Mesir, Syria dan Iraq. Kemenangan Israel dalam Perang Enam Hari telah meningkatkan lagi keyakinan pemimpin AS seperti Nixon dan Kissinger untuk meneruskan sokongan terhadap Israel bagi menentang pengaruh Soviet di rantau itu.

Tetapi selepas Soviet Union runtuh, Israel tidak lagi penting kepada AS. Malah Israel tidak mempunyai kekuatan ekonomi untuk membantu AS sebaliknya menjadi tanggungan ekonomi AS. Selepas peristiwa 11 September, AS mengisytiharkan bahawa Israel akan menjadi pasangan mereka menentang keganasan (partners against terror). Tindakan yang tidak bijak ini telah menjejaskan lagi reputasi AS di mata dunia kerana konflik Arab-Israel yang tidak pernah berakhir.

Akhirnya, Israel yang dianggap aset itu hanya tinggal liabiliti. Bantuan tanpa had kepada Israel tidak pernah menjadikan rakyat Amerika lebih kaya atau lebih selamat. Malah, tindakan ini menggugat kepercayaan negara-negara sekutu AS lantas mencetuskan lebih banyak kumpulan Anti-Amerika. Kes moral semakin luntur dalam hubungan AS-Israel.

BAB III

Bab ketiga menunjukkan tindakan AS tidak lagi bersifat moral. Israel cuba dibuktikan sebagai negara kecil yang dikelilingi oleh negara-negara Arab yang besar, justeru memerlukan bantuan AS. Namun, hakikatnya Israel sebenarnya gergasi yang mengancam negara-negara yang lain. Contohnya dalam Perang Kemerdekaan 1948, walaupun secara relatif penduduk Israel hanya sedikit, dengan bantuan AS, Israel berjaya mempersiapkan 35,000 orang tentera berbanding negara-negara Arab yang secara kolektifnya hanya mempunyai 25 hingga 30 ribu orang tentera.

Tragedi Holocaust yang membunuh beribu-ribu orang Yahudi dikatakan memberi justifikasi moral untuk Israel menerima layanan istimewa agar orang Yahudi dapat ditempatkan di kawasan yang selamat. Memang tidak dinafikan, tragedi itu sangat kejam dan orang Yahudi berhak mendapat perlindungan. Namun, dalam proses mewujudkan negara Israel, tindakan Israel membunuh dan menghapuskan pihak ketiga iaitu rakyat Palestin adalah tidak bermoral sama sekali.

BAB IV

Oleh kerana justifikasi moral tidak dapat diberikan, kita tertanya-tanya bagaimanakah lobi Israel ini menjadi begitu kuat? Pengaruh Israel menjadi begitu kuat disebabkan oleh penglibatan tiga golongan utama; orang Yahudi-Amerika, golongan neo-konservatif dan kumpulan Kristian-Zionis. Orang Yahudi mahukan penempatan mereka di Israel diperluaskan dan diperhebat. Golongan neo-konservatif mahukan Amerika Syarikat menjadi kuasa utama dunia yang menyebarkan demokrasi. Mereka percaya kepada idea Empayar Amerika dan bersungguh-sungguh untuk menghapuskan saingan negara lain. Golongan Kristian-Zionis pula percaya bahawa Israel perlu menjadi negara yang kuat. Mereka menentang idea penubuhan dua negara dan percaya bahawa kembalinya Yahudi ke tanah Palestin menepati ramalan di dalam Old dan New Testament.

Kumpulan pelobi ini bergerak melalui dua cara; mempengaruhi penggubalan dasar di AS dan menyebarkan imej Israel yang baik dan rasional yang bermoral untuk memberi sokongan kepada Israel.

BAB V


Melalui cara pertama, kumpulan pelobi membentuk kepercayaan di kalangan pemimpin AS bahawa membantu Israel adalah tindakan yang tepat dan mesti dilakukan. Malah kumpulan ini juga terlibat secara aktif dalam pengumpulan dana bagi pilihan raya presiden hanya untuk mencapai satu matlamat; iaitu walau sesiapa pun, atau daripada parti mana sekalipun yang dilantik sebagai Presiden AS, beliau adalah pro-Israel. Malah perkara ini turut diakui oleh bekas Presiden Jimmy Carter bahawa di mana sahaja pengumpulan dana berlaku, golongan Yahudi adalah yang paling signifikan. Contohnya calon presiden Republikan, John McCain menyatakan, “Jika bercakap tentang pertahanan Israel kita sama sekali tidak boleh berkompromi.” Malah lawannya dari Parti Demokrat, Barack Obama juga berjanji tidak akan mengubah apa-apa tentang hubungan AS-Israel sekarang.

BAB VI


Dengan cara yang kedua pula, golongan pelobi menyasarkan masyarakat secara am untuk melihat Israel sebagai pasangan yang baik untuk AS. Mereka mendominasi sebaran am melalui tiga cara; mengawal media utama, mewujudkan kumpulan pemikir yang pro-Israel, membentuk mentaliti dan pemikiran ahli akademik dan pelajar-pelajar universiti. Dengan mengawal media utama seperti CNN, New York Times, Washington Post dan Wall Street Journal, berita-berita yang disampaikan akan bersifat pro-Israel. Mereka juga mengumpulkan tokoh pemikir dengan menyumbangkan dana dan menggerakkan pertubuhan agar menyebelahi Israel. Malah mereka turut masuk campur dalam pentadbiran universiti untuk menghapuskan ideologi anti-Israel di kalangan profesor dan pelajar.

BAHAGIAN II


Bahagian kedua buku ini menceritakan tindakan pelobi terhadap musuh-musuh utama mereka iaitu Palestin, Iraq, Syria, Iran dan Lubnan. Dengan mengukuhkan pengaruh mereka di kalangan pemimpin dan masyarakat AS, golongan Yahudi menjadi lebih berani dan berkuasa. Mereka menjadikan AS sebagai alat untuk menghapuskan saingan daripada negara-negara Arab.

BAB VII


Di Palestin kumpulan pelobi menentang sebarang tindakan yang memaksa mereka berundur dari Semenanjung Gaza dan Tebing Barat. Walaupun pada tahun 2002, Bush terpaksa tunduk dengan tekanan dunia dan mengeluarkan arahan agar Israel berundur, kumpulan pelobi bertindak segera dengan menghantar surat terbuka, menggagas resolusi bersama, membuat kenyataan media dan mesyuarat langsung untuk menekan pentadbiran Bush yang akhirnya tunduk kepada kehendak mereka.

BAB VIII


Di Iraq, kumpulan pelobi menghalang pentadbiran Bush daripada mengundurkan tentera dari Iraq. Israel bimbang sekiranya tentera AS dikeluarkan, keselamatan Israel akan diancam oleh tentera Iraq yang kini dikuasai Hamas.

BAB IX


Di Syria pula, pendekatan berkonfrontasi dengan Damsyik telah merenggangkan hubungan AS-Syria. Syria telah menghentikan penyaluran maklumat perisikan mereka berkenaan Al-Qaeda malah Syria terus-menerus menyokong Hizbullah di Lubnan. Namun, Israel berasa gembira dengan krisis diplomatik AS-Syria agar mereka dapat bertahan lebih lama di Bukit Golan.

BAB X


Tindakan Israel mempengaruhi AS menentang Iran sebenarnya mendatangkan bahaya kepada mereka sendiri. Akibat menentang Iran, Tehran telah menguatkan kuasa tenteranya lantas menyebabkan keselamatan Israel menjadi lebih buruk. Begitu juga dengan tindakan Israel menyerang Lubnan. Hasilnya, kumpulan Hizbullah di bawah pimpinan Hasan Nasrallah menuduh AS sebagai pihak yang mengarahkan Israel menyerang Lubnan. Malah Hizbullah turut menjalinkan kerjasama dengan Iran bagi menghadapi tentangan Israel.

KESIMPULAN


Segala perkara ini membawa kepada satu persoalan; apa yang perlu dilakukan. Di dalam bab terakhir, penulis menggariskan beberapa cadangan untuk mengurangkan kemusnahan yang dilakukan oleh pengaruh Israel terhadap dasar luar AS. Cadangan pertama, mengenal pasti kepentingan sebenar AS di Timur Tengah. Kedua, menggariskan strategi untuk melindungi kepentingan tersebut. Ketiga, menjalinkan hubungan yang baru dengan Israel. Keempat, menamatkan konflik Israel-Palestin melalui penubuhan dua negara. Kelima, mengubah lobi menjadi kuasa yang membina.

Kepentingan AS yang sebenarnya hanyalah memastikan rakyat Amerika hidup dengan selamat dan sejahtera, mencegah negara-negara Timur Tengah daripada memiliki senjata pemusnah besar-besaran (WMD) dan mengurangkan kepengganasan anti-Amerika. Walaupun AS perlu menyokong kewujudan Israel, namun ia bukanlah kepentingan utama yang perlu dijunjung.

Untuk menjaga kepentingan ini, pertama, AS perlu menggantikan kaedah penukaran kawasan (regional transformation) dengan kaedah pengimbangan pesisiran (offshore balancing). Melalui kaedah ini AS hanya perlu menghantar kuasa tenteranya apabila terdapat ancaman langsung terhadap kepentingan AS dan negara yang terlibat tidak mampu mengatasinya sendiri. Mekanisme ini bukan sahaja menjimatkan kos malah melindungi kepentingan diplomatik AS dan hubungan luar dengan negara-negara dunia.

Kedua, AS perlu memberi layanan kepada Israel seperti sebuah negara yang biasa tanpa sebarang keistimewaan atau berat sebelah. Ini juga bererti tidak mempunyai kepentingan bersama atau berpura-pura bahawa Israel berhak mendapat layanan berbeza.

Ketiga, menamatkan konflik Israel-Palestin. Hanya ada satu cara untuk menamatkan krisis ini iaitu mewujudkan dua buah negara yang sah. Dalam keadaan kedua-dua pihak tidak mahu mengalah, krisis ini tidak akan berakhir dengan cara yang lain malah akan menjejaskan AS sendiri jika ia semakin berpanjangan.

Kaedah terakhir adalah mengurangkan kuasa pelobi. Kuasa pelobi boleh dikurangkan dengan mengurangkan sumbangan dana kepada kumpulan pelobi dan menjadikan mereka kurang berkuasa. Di samping itu, satu kumpulan pelobi balas (counterlobby) perlu diwujudkan untuk menyeimbangkan kekuatan pelobi. Kumpulan pelobi ini boleh terdiri daripada orang Arab-Amerika dan gerakan Muslim yang kini jauh lebih lemah berbanding lobi Israel. Selain daripada itu, perbincangan terbuka berkenaan isu Israel perlu lebih kerap diadakan untuk mendapatkan pandangan semua pihak berhubung isu lobi Israel ini.

Kesimpulannya, kewujudan lobi Israel sudah lama mempengaruhi dasar luar AS dan mencetuskan konflik di seluruh dunia. Sudah tiba masanya, kebenaran dibongkar agar lebih banyak perdebatan berlaku berkenaan isu Israel ini yang akhirnya boleh membawa kepada kesedaran dunia dan AS khususnya untuk bertindak mengikut kepentingan rakyat mereka bukannya mengikut negara yang ingin menguasai dunia.

Buku ini memberikan perspektif yang lebih terbuka tentang pengaruh Israel dalam pentadbiran Amerika Syarikat. Walaupun perkara ini bukan perkara baru dan sudah diketahui oleh seluruh dunia namun buku ini mampu memberikan gambaran yang lebih mendalam betapa kuatnya pengaruh Israel ke atas AS. Dengan gaya penulisan tokoh-tokoh akademik yang mementingkan ketulenan, kebenaran dan kesahan fakta, buku ini boleh membuka ruang kepada perdebatan terhadap isu yang selama ini disembunyikan di dalam diam.

Salah Prosedur atau Kakitangan?

Pernahkah anda berurusan dengan sesebuah organisasi/syarikat yang “lembap”?
Tak taulah nak salah siapa. Pekerjanya ke atau prosedurnya.
Inilah yang berlaku kepada saya semasa berurusan dengan Cawangan Serahan Pos Malaysia di Bukit Rahman Putra.

Alkisah berlaku pada 24 Jan, Sabtu lepas. Saya bertolak dari rumah di Kota Damansara lebih kurang jam 9:35 pagi untuk ke sana. Oleh sebab tidak buat persediaan, maka sesat dalam teranglah perjalanan saya. Padahal jaraknya dekat je. Puas berpusing sana-sini, maka saya mengambil keputusan untuk menghubungi Suhaimi “Doraemon” (Sori mie3425, awak memang comei cam doraemon). Masa tu jam 10:26 pagi. Walau macam mana penerangan yang diberikan oleh Suhaimi, saya memang tak faham sebab sesat sampai ke Hospital Sungai Buloh. Pepatah ada menyebut “kalau sesat, kembalilah ke pangkal jalan”. Dah buntu, maka saya pun ikutlah kata pepatah tu. Rupa-rupanya saya dah salah masuk jalan daaa... Pukul 10:55 baru sampai. Wah, besar juga bangunan pejabat ni.

Setelah masuk ke dalam, terkejut juga saya bila tengok ‘Q’ yang panjang. Hanya seorang pekerja yang ada. Untuk melayani seorang pelanggan, ambil masa 3-5 minit. Bayangkan kalau yang beratur tu ada 20 orang. Berapa lama nak berdiri? Saya terpaksa berdiri sehingga 40 minit barulah selesai urusan. Dari penelitian, saya rasa sistemnya tak betul. Sepatutnya, pekerja itu mengambil 5 slip sekali gus, barulah masuk ke dalam bilik simpanan surat. Cari kelima-lima surat sekali gus. Bukannya ambil satu, masuk ke dalam cari surat, kemudian keluar serah surat, lepas tu masuk lagi sekali... Kalaulah pintu bilik tu boleh bersuara...

Dalam hati, rasa macam nak je pergi tolong pekerja yang macam “makcik-makcik” tu. Lama-lama tengok muka dia kesian pulak rasa. Bayangkan agaknya macam tulah dia ulang alik sejak dari pukul 8:30 pagi. Saya hanya membebel dalam hati jelah. Ada sorang kakak depan saya ni tak habis-habis bandingkan dengan perkhidmatan bank yang jauh lebih baik. Pot pet pot pet... Letih tahap gaban nak mendengarnya leterannya. Tapi, ada seorang lelaki India yang beratur belakang saya, ambil inisiatif pergi ke pejabat di bahagian depan dan minta mana-mana kakitangan yang tak buat apa-apa, pergi tolong “makcik” tu yang dah macam nak demam rupanya. Sekurang-kurangnya lelaki India tu cari jalan penyelesaian, walaupun dia juga tak berhenti mengomel. Akhirnya, ada seorang Mr Posmen datang bantu. Tepat jam 11:35 baru saya dapat melangkah kaki keluar dari bangunan itu. Salah prosedur atau salah pelaksanaan atau salah pekerja yang tidak kreatif?

Tanpa berlengah, saya terus ke Taman Sri Rampai untuk servis kereta di tempat selalu, persediaan nak balik kampung pagi Ahad.
Seronoknya balik kampung.....walau dah tiada sesiapa, tapi dapat berkumpul adik-beradik dan semua anak saudara, kecoh jadinya. Apatah lagi, rumah baru dah siap. Ye! Ye!....

Wednesday, December 31, 2008

Petua masak sayur agar nampak segar


Ingin mengetahui cara memasak 'fatt choy' dan brokoli supaya nampak segar, hijau dan tidak layu? Ikuti petua/cara di bawah yang dipetik dari buku "Rahsia Dapur - Norzailina Nordin"


Untuk 1kg sayur berdaun hijau, jerang 1.5 liter air, 1 camca teh gula dan 1 camca teh minyak hingga mendidih perlahan (rippling boil). Celur sebentar (sehingga warna hijau yang diingini) kemudian masukkan ke dalam mangkuk air berisi kiub ais. Biarkan selama 1.5 - 2 minit, kemudian angkat. Sejatkan dan letakkan ke dalam piring hidangan (atau kacau dengan sos/kuah yang sudah dimasak tadi). Boleh juga dituangkan sos/kuah ke atasnya dan sajikan serta-merta.

Untuk brokoli, setelah air mendidih, masukkan 1/2 camca teh soda bikarbonat diikuti brokoli dan rebus sebentar sebelum diangkat dan diletak di dalam air berkiub ais.