Thursday, December 18, 2008

Gelaran (?)

Kenapa manusia selalu menggunakan GELARAN tertentu kepada manusia lain bagi menggambarkan kebencian? Jawapan? Kena tanya orang yang memberi gelaran itu kerana dia lebih mengetahui. Tetapi, saya juga mempunyai pendapat sendiri yang mungkin betul, mungkin tidak. Iaitu, mungkin dengan cara itu sahaja yang boleh memberikan kepuasan kepada si pemberi gelaran untuk menunjukkan tahap kebencian dan dendam kesumat (ditambah lagi dengan hasutan syaitan bertanduk, bermata satu dan merah).
Emmm.... tetapi di sebaliknya sedarkah bahawa dengan cara tersebut, penghormatan orang lain terhadap dirinya akan pudar (walaupun tidak hilang sepenuhnya). Memang acap kali kita akan berjumpa dengan orang-orang yang sebegitu (tidak terkecuali diri saya sendiri), cuma sekurang-kurangnya janganlah keterlaluan.

Menggelarkan seseorang dengan panggilan/perkataan tertentu yang buruk tidak akan memberikan apa-apa faedah sama ada kepada diri sendiri atau kepada orang tersebut. Kepuasan yang kita peroleh hanya sementara kerana apabila kita cuba bermuhasabah atau cuba mengenang kembali kebaikan yang ada dalam diri orang yang diberi gelaran, sudah tentu kita akan rasa menyesal (kalau tak banyak, sikit tentu ada).

Dalam tulisan saya sebelum ini, saya ada menyatakan bahawa penghormatan pada seseorang bukan hanya kerana jawatan dan kekayaan semata-mata tetapi juga sikap dan tingkah laku (nak tambah lagi: termasuk juga tutur bicara dan budi bahasa kita). Amat menyedihkan dan amat malang sekali apabila kita terpedaya dengan zahir seseorang yang kelihatan amat sopan dan berbudi bahasa tetapi dalam masa yang sama telah menonjolkan sisi gelap lain dalam dirinya hanya kerana ’gelaran’ yang pernah diberikannya kepada orang lain. Kalau sekadar gurauan tidak salah, jangan berlebih-lebihan.

Tidak molek begitu, kan...


Tulisan ini juga ditujukan khas kepada diri saya sendiri sebagai peringatan bagi mengelakkan diri daripada memberi gelaran yang tidak elok kepada orang.

No comments: