Saturday, April 4, 2009

Secebis Kenangan Bersama PM Ke-6

Satu Malaysia : Rakyat Didahulukan. Pencapaian diutamakan

Itulah slogan/gagasan YAB Dato' Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-6 pada 3 April 2009.

Tidak ingin mengulas lebih lanjut tentang makna di sebalik gagasan ini kerana banyak pihak telah memberi pelbagai ulasan yang kebanyakannya menyambut baik gagasan tersebut. Dan sudah tentunya harapan kita rakyat Malaysia adalah agar gagasan ini tidak sekadar menjadi slogan tetapi akan direalisasikan oleh pemimpin nombor satu negara dengan sokongan padu semua rakyat Malaysia dan doa kita agar rakyat Malaysia dapat kembali bersatu. Tidak salah meletakkan harapan dan impian.

Berbalik kepada tajuk di atas, saya ingin menceritakan secebis kisah atau kenangan seorang 'rakyat kecil' bersama dengan PM ke-6 ini. Kisah ini bagi kebanyakan orang bukanlah istimewa mana pun tapi bagi saya ia cukup terkesan dan bermakna kerana seperti saya nyatakan di atas, saya hanya rakyat kecil yang tiada sebarang kepentingan selain dari hubungan rakyat biasa dengan pemimpin negara.

1986, 23 tahun yang lalu adalah pertemuan pertama saya dengan YAB Dato Sri Najib (DSN). Ketika itu saya berada di tingkatan 3 SMK Sungai Koyan. DSN membuat lawatan ke SMK Sg Koyan bertemu dengan penduduk Felda di situ selaku Menteri Besar Pahang. Pada tahun tersebut juga pilihan raya diadakan. Maka banyaklah gambar DSN diedar dan posternya digantung merata tempat. Salah sebuah rumah yang menampal gambar DSN dan Dr Mahathir adalah rumah saya. Gelihati juga bila memikirkan di ruang tamu rumah ditampal dengan gambar pemimpin negara, bukan gambar keluarga.

Maka saya yang ketika itu seorang gadis remaja yang sedang 'kembang mekar' (hahaha... tafsiran yang agak melampau), merasa agak teruja melihat DSN yang emmm... hensem giler. Agak melucukan bila saya menjadikan tabiat memandang poster DSN setiap hari sebelum pergi sekolah dan selepas balik sekolah. Inspirasilah kononnya.

Ditakdirkan pula pada tahun 1997, DSN selaku Pengerusi ITNM ketika itu buat pertama kali menjejakkan kaki ke pejabat ITNM yang menyewa di Menara Pengkalen. Saya telah ditugaskan menyemat bunga (cossage) dan mengiringi DSN menandatangani buku pelawat. Susahnya nak cucuk pin kat baju melayu biru turquoise yang dipakai kerana baju tu betul-betul melekat kat dada. Nasib baik kuku panjang sikit, bolehle cubit baju tu. Hahaha... (pernah juga semat bunga di baju Datin Sri Rosmah pada tahun 1994, mudah sekali sebab Datin Sri pakai baju berkerawang).

Dalam lawatan DSN itu juga saya menjadi pengacara majlis (MC) untuk majlis MoU antara ITNM dengan Penerbit Buku. DSN sebagai tetamu kehormat menjadi saksi pada majlis tersebut. Masa muda belia, antara tugas utama saya adalah sebagai penyambut tamu atau memegang dulang cenderamata, tapi bila sudah 'kertu' ni, tempatnya di belakang aje... bagi can pada pelapis.

Selepas berpindah ke bangunan baru di Wisma ITNM, DSN sekali lagi ke ITNM. Kali ini bagi mempengerusikan mesyuarat lembaga pengarah. Kalau tidak silap hujung tahun tahun 1998 atau awal 1999. Beliau ketika itu juga adalah Menteri Pelajaran. Saya seperti biasa ditugaskan menghidangkan minuman/makanan untuk beliau. Selain kuih-muih, hidangan lain ialah buah anggur dan mangga. Habis licin buah itu dimakan oleh DSN...

Berikutnya pada awal tahun 2005, DSN yang ketika itu adalah Timbalan Perdana Menteri kembali sekali lagi ke SMK Sg Koyan untuk program Pemimpin Bersama Rakyat. Emak telah memanggil saya pulang kerana adik lelaki saya yang ketika itu di tingkatan 5 ditugaskan mengetuai perbarisan kadet tentera memberi tabik hormat kepada DSN. Emak rasa bangga dan meminta saya menjadi juru gambar. Salah satu gambar yang diambil adalah gambar terakhir antara emak dan abah kerana pada 13 April 2005, abah telah kembali ke rahmatullah.

20 Jan 2009 pula, ITNM mengadakan majlis pelancaran buku Politik Baru di Shangri La Putrajaya. DSN dijemput sebagai tetamu kehormat yang menyempurnakan pelancarannya. Saya hanya dapat melihat beliau dari jarak beberapa meter sahaja kerana terlalu ramai yang mengerumuni beliau dan saya pula bertugas di meja pendaftaran (dah kertu lah katakan.. oppsss).

Yang terkini, bukan pertemuan. Saya telah diminta oleh Pengerusi ITNM Y. Bhg Dato' Dr Wan Hashim Wan Teh untuk menaip skrip yang dihasilkannya untuk dokumentari pengkisahan Pak Lah dan DSN yang akan disiarkan oleh RTM sempena pelantikan DSN sebagai PM ke-6 dan penyerahan kuasa Pak Lah kepada DSN. Bila menonton dokumentari tersebut pada 2 April & 3 April 2009, rasalah sedikit bangga sebab saya antara yang terlebih dahulu tahu kandungan skrip tersebut.

Apa yang dikisahkan di atas bukanlah untuk menunjuk-nunjuk kerana pengalaman itu hanyalah kecil tidak seperti sesetengah orang lain yang boleh duduk semeja degan DSN. Tetapi kesan dari pertemuan pertama pada 1986 membawa kepada kesinambungan hubungan antara "Pengerusi dan Pekerja" serta "Pemimpin dan Rakyat".

Betapa saya yang beberapa kali bertemu dengan DSN tidak dapat melupakan detik-detik pertemuan, apatah lagi dengan rakyat kecil lain yang mungkin hanya sekali bertemu atau yang langsung tidak pernah bersua muka dengan DSN atau pemimpin negara lain. Walaupun pemimpun negara juga manusia biasa, tetapi apabila rakyat biasa dapat menatap sendiri wajah mereka (bukan melalui kaca tv), perasaan dan hubungan adalah berbeza.

Oleh itu, wahai semua pemimpin negara, selalulah menjengah rakyat biasa yang kecil ini di kampung-kampung. Senyuman yang anda lemparkan dan pandangan mata anda ke arah kami akan menjalinkan satu rasa keakraban.

Mesej untuk YAB Dato Sri Najib

Tahniah dari kami rakyat Malaysia untuk YAB Dato Sri. Harapan kami agar Dato Sri dapat menyatukan kembali rakyat Malaysia dan mengeluarkan Malaysia dari belenggu krisis ekonomi.

Mesej untuk YBhg Datin Sri Rosmah Mansor

Sebagai wanita pertama negara, teruskan jalinan hubungan erat dengan rakyat jelata, mesra-mesrakan diri dengan rakyat bawahan seperti mana YABhg Tun Dr Siti Hasmah dan YABhg Tun Jeanne Abdullah amalkan.

Mesej untuk anak-anak Perdana Menteri Malaysia Ke-6

Jagalah tingkah laku dan pergaulan anda. Jagalah maruah ayahanda dan datuk anda. Kerana anda adalah kesinambungan legasi mereka.

No comments: